PRN: PN ambil tindakan ahli sebotaj parti

Hamzah
Hamzah
A
A
A

KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) akan mengambil tindakan terhadap ahli parti komponennya yang dikesan menjadi calon Bebas, penyokong calon lain mahupun calon yang dipilih tetapi mensabotaj gabungan itu menjelang pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mereka yang terbukti melanggar undang-undang parti akan diambil tindakan dipecat atau digantung keahlian selain status ahli tergugur dengan sendiri berdasarkan perlembagaan.

Menurut beliau, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat untuk melakukan penelitian di seluruh negara secara terperinci berkaitan jumlah mereka yang sebenarnya terlibat, sebelum mengumumkan senarai itu dalam tempoh sehari atau dua hari lagi.

“Ada ramai kalangan mereka kerana bukan hanya menjadi calon Bebas, tetapi juga yang menyokong calon-calon lain di seluruh negara. Sebab itu, akan ada pemeriksaan menyeluruh yang mengambil masa sehari atau dua hari bagi mendapatkan kepastian berkait jumlah keseluruhannya.

“Kami akan meneliti semula calon-calon yang sudah diputuskan bertanding PRN ini dan sama ada ahli membantu atau menjadi calon Bebas atau pun melakukan sesuatu yang boleh mencacatkan calon-calon untuk menang,” katanya pada sidang akhbar selepas Ceramah Perdana Isu-isu Semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas di sini pada Selasa.

Hadir sama, bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut Hamzah, tindakan disiplin yang akan dikenakan itu bukan hanya melibatkan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sahaja, tetapi termasuk juga ahli dari Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang berada di bawah gabungan itu.

Katanya yang juga Setiausaha Agung Bersatu itu, mengikut Fasal 10.2.4 Perlembagaan Bersatu, mana-mana ahli yang tidak mendapat kebenaran parti tetapi bertindak melanggar disiplin dengan bertanding, menjadi pencadang atau penyokong kepada parti lain atau calon Bebas, keahliannya terhenti serta-merta.

“Keahlian juga boleh digantung serta-merta selama tiga tahun kerana melanggar Fasal 10.2.2 perlembagaan sama kerana perbuatan menghasut, memboikot dan mensabotaj kempen pilihan raya PN.

“Jadi, biar kita bertindak secara keseluruhannya. Kalau tidak nanti akan ada yang kata kita pilih kasih apabila ada dikenakan tindakan dan ada pula yang tidak dikenakan tindakan,” katanya.

Pada Sabtu lalu, seorang ahli Bersatu dipecat, manakala dua lagi digantung keahlian selepas bertanding sebagai calon bebas dan memboikot kempen PN.

Pada hari penamaan calon itu, penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Sallehudin Amiruddin membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon Bebas.

Sallehuddin sebelum ini adalah calon Bersatu yang memenangi kerusi itu atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Selain itu, Ketua Bersatu Jerlun, Abdul Ramli turut tampil menjadi calon Bebas dengan saingan tiga penjuru bersama calon PN, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir dan penyandang, Dr Salmee Said dari Pakatan Harapan (PH).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!