Hutang peneroka Felda, lawan tetap lawan - Muhyiddin


Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

HULU SELANGOR - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau akan melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah berkait fitnah berhubung isu pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tohmahan dan kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu telah mencalarkan imejnya sebagai bekas Perdana Menteri.

"Saya saman Perdana Menteri (Anwar), peduli saya... betul tak? Fasal ini maruah saya. Saya manusia, saya mantan Perdana Menteri, awal daripada dia.

"Tak faham perakaunan (dan) faham makna bon," katanya ketika berucap pada Ceramah Umum DUN Hulu Bernam di sini pada Selasa malam.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut menyindir tindakan Anwar menuntutnya membayar pampasan RM200 juta kerana didakwa menjejaskan reputasi beliau berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.

"Belum habis saya minta dia (Anwar) mohon maaf dan dia tak nak minta maaf (tetapi) dia saman saya RM200 juta. Macam mana tu?

"Saya suruh dia minta maaf fasal dia dah salah... dia tak nak mengaku salah, dia saman saya dan suruh minta maaf dengan nilai RM200 juta. Habis macam mana? Lawan, lawan? Lawan tetap lawan.

"Fasal saya berpegang pada prinsip kebenaran. Berani kerana benar. Kalau orang buat tohmah, dan ini memfitnah saya hidup-hidup," kata Muhyiddin lagi.

Pada 21 Julai lalu, Anwar menuntut Muhyiddin meminta maaf dan membayar pampasan RM200 juta kerana menjejaskan reputasi beliau berhubung dakwaan fitnah membabitkan isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Melalui jawapan terhadap surat tuntutan Muhyiddin menerusi firma guamannya SN Nair & Partners, menyatakan Anwar akan memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri itu jika tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat jawapan berkenaan.

Selain itu, Anwar menuntut Muhyiddin menarik balik surat tuntutan beliau dan semua kenyataan (yang didakwa) fitnah diterbitkan berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda serta-merta dan tidak berbelah bahagi serta memadamkan atau menarik balik segala komen yang menyinggung perasaan dan bersifat fitnah.

Sementara itu, Muhyiddin pada 28 Julai memfailkan saman fitnah terhadap Anwar berhubung isu sama.

Muhyiddin mengemukakan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership selaku plaintif dengan menamakan Anwar sebagai defendan.

Beliau menuntut ganti rugi teladan yang sepadan dengan jumlah RM200 juta pampasan.

Sebelu itu, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata dokumen yang dikemukakan Anwar bukan berkenaan pelupusan hutang peneroka Felda, sebaliknya dokumen berkenaan sukuk. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN:

Hutang peneroka Felda: Muhyiddin hantar notis tuntutan kepada Anwar

PM sedia tunjuk bukti hapus hutang peneroka Felda

Anwar, Muhyiddin berjasa dalam penyelesaian hutang peneroka Felda

Hutang Felda: Anwar tunjuk bukti, desak Muhyiddin mohon maaf

Hutang Felda: MOF sahkan Anwar tandatangan FSRA

Dokumen didedahkan bukan perjanjian lupus hutang Felda - Marzuki

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!