OKT meninggal dunia ketika rawatan
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang juga orang kena tahan (OKT) meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Beluru, Marudi, Sarawak pada Isnin.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, OKT yang berusia 50 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada hari sama.
"Semasa dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Marudi, OKT mengadu sakit dada dan sukar bernafas. Lelaki itu segera dibawa ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan.
"OKT telah disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan klinik kesihatan berkenaan pada jam 10.30 malam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Azri berkata, bedah siasat akan dijalankan di Hospital Miri pada Khamis untuk mengetahui punca kematian.
"Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!