PRN: Rakyat terima faedah besar bersama Kerajaan Perpaduan
KUALA PILAH - Rakyat diminta memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, rakyat akan mendapat manfaat besar ditadbir Kerajaan Perpaduan, namun keadaan berbeza jika memilih parti yang hanya pandai menyemai bibit kebencian dan permusuhan.
"Berilah masa (peluang) dalam pilihan raya kali ini kepada gabungan Barisan Nasional, Pakatan Harapan di dalam Kerajaan Perpaduan. Kita tengok dalam tempoh lima tahun ini apa yang dapat kita buat, apa faedah yang dapat kita berikan kepada rakyat Negeri Sembilan.
"...Sebab sebelum ini tak dapat cukup lima tahun di peringkat Persekutuan, kali ini kita ada gandingan biru dan merah (BN-PH).
"Lima tahun sahaja, selepas itu kalau betul kita tak berjaya, kalau betul bila nanti kita lupa kepada rakyat itu hak masing-masing. (tukar kerajaan)," katanya ketika berucap di program Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah di sini pada malam Selasa.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, selepas perubahan di peringkat pusat berjaya dilakukan, kini di peringkat negeri supaya dapat selaraskan dasar-dasar untuk membawa perubahan kepada seluruh rakyat khususnya di negeri ini.
"Pelabur juga telah mula datang ke negara ini selepas melihat adanya sebuah kerajaan pusat yang stabil dengan jumlah kerusi melebihi dua pertiga.
"Momentum ini harus dipertimbangkan pengundi di enam negeri terbabit Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan akal fikiran yang waras dan bijak dan tidak hanya menggunakan emosi semata-mata," katanya.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!