Ada pihak cuba tembak ‘peluru kapur’ - Pas Kelantan

WAN ROSLAN
WAN ROSLAN
A
A
A

KOTA BHARU - Pas Kelantan mendakwa ada pihak yang ‘menembak peluru kapur’ dengan membuat pelbagai andaian dan tuduhan untuk memburukkan imej pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Badan Perhubungan PN negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkara itu dilakukan musuh dalam cubaan untuk melaga-lagakan pemimpin gabungan itu termasuk antara Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar negeri itu, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

“Ada pihak yang cuba 'menembak peluru kapur' untuk memburukkan imej PN dengan melaga-lagakan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar.

“Sebenarnya tak ada pun dan macam mana mereka boleh masuk dalam ‘rumah tangga’ orang lain. Ini suatu yang kita tidak akan lakukan iaitu menggunakan isu-isu peribadi untuk menggugat lawan,” katanya pada sidang akhbar harian PN sempena PRN di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Kelantan, di sini, pada Rabu.

Menurut Wan Roslan yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan itu, PN mengambil pendekatan kempen bersifat harmoni melalui penerangan mendalam berkaitan program-program yang ditawarkan kepada pengundi ataupun rakyat keseluruhannya.

Kata beliau, PN berada dalam kedudukan yang sangat baik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

“PN berada di kedudukan sangat baik untuk menambat hati pengundi agar pertahankan kerajaan Pas di Kelantan. Alhamdulillah tawaran program PN Kelantan mendapat sambutan yang begitu baik daripada pengundi termasuk yang di luar Kelantan atau di perantauan.

“Tawaran itu mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk profesional dan pakar-pakar. Saya ingin tegaskan, PN mengambil pendekatan kempen yang harmoni, tidak menakutkan provokasi atau berbau fitnah,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!