Anak Noh Omar mahu teruskan legasi bapa berkhidmat kepada rakyat

Nurul Syazwani (kiri) bertemu penduduk di Tanjong Karang pada Rabu.
Nurul Syazwani (kiri) bertemu penduduk di Tanjong Karang pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh mahu meneruskan legasi bapanya untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Menurut Nurul Syazwani, beliau sudah biasa mengikut bapanya, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang menjalankan tanggungjawab dan berkhidmat kepada rakyat selama enam penggal.

"Saya masih ingat sejak usia tujuh tahun lagi sudah ikut bapa untuk menghadiri program bersama masyarakat dan kempen politik, malah pengalaman itu menjadi satu kelebihan apabila dicalonkan di DUN Permatang," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program bertemu penduduk DUN Permatang di sini pada Rabu.

Ujar beliau, bapanya sentiasa memberikan sokongan dan dorongan serta nasihat kepada beliau untuk menawan hati pengundi di DUN itu.

"Dalam politik ini, pada mulanya memang saya bergerak sendiri dan bapa (Noh) ingin melihat kesungguhan saya dan Alhamdulillah beliau yakin dan percaya serta memberi sokongan 100 peratus dan turut membantu dalam berkempen," jelas beliau.

Mengulas mengenai kempen di DUN Permatang, Nurul Syazwani memberitahu, pengalaman bekerja dan berkempen di DUN itu sudah lama dan ketika ini logo parti sahaja yang berlainan.

"Kalau dulu Barisan Nasional (BN), tetapi ketika ini PN dan biarpun berbeza lambang tetapi matlamat saya kerja-kerja khidmat bakti ini perlu diteruskan.

"Saya sendiri akui, selepas menyertai Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) kami terus bekerja menemui penduduk sejak sebelum Ramadan lagi.

"Saya mengetuk pintu lebih awal lagi dan telah menjalankan pelbagai program menyantuni penduduk dan sebagainya," kata beliau.

Menurut Nurul Syazwani, kerja-kerja bertemu rakyat bukan diadakan secara bermusim, sebaliknya secara berterusan agar sampai ke peringkat akar umbi.

Tambah beliau, usaha itu menunjukkan hasil apabila kebanyakan pengundi sudah bersama dengan PN.

"Jentera kita (PN) ramai bukan hanya daripada Bersatu dan Pas, sebaliknya mendapat sokongan daripada ahli PKR (Parti Keadilan Rakyat), DAP, MCA, MIC dan ahli UMNO sendiri," katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Syazwani menentang, Ketua Cabang Parti PKR Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi DUN Permatang dimenangi calon PKR, Rozana Zainal Abidin dengan majoriti 1,158 undi selepas menewaskan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN) dan Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud (Pas).

Rozana memperoleh 9, 208 undi menewaskan Sulaiman yang mendapat 8, 050 undi dan Muhammad Jafaruddin meraih 2,746 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!