Isu 3R: Kenapa masih belum serik?

Sivamurugan dan Lam Thye
Sivamurugan dan Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bagaikan mencurah air ke daun keladi, isu berkaitan agama, bangsa dan institusi diraja, masih lagi dimanipulasikan pihak-pihak tertentu untuk kepentingan peribadi, walaupun pelbagai peringatan telah dikeluarkan supaya ia dihindari.

Elak tiga perkara ini sahaja, selain tiga ini - gunakanlah apa sahaja topik lain untuk dibincangkan, ada beribu, malah berjuta isu lain yang boleh diketengahkan.

Ramai yang mengeluh, apa akan jadi kepada negara apabila ada kelompok dianggap ‘senior’ yang cukup matang sendiri pun masih degil, tidak menghormati kedaulatan institusi diraja, kesucian agama dan keharmonian pelbagai kaum dalam negara.

Bercakap kepada Bernama, penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berpendapat perbuatan itu merupakan tindakan yang kurang wajar dan kurang cerdik bagi sesiapa pun, terutama pemimpin, untuk bermain dengan emosi rakyat, walhal tiga perkara itu selama ini menjadi benteng kekuatan negara ini.

"Perlu dipantau, sekiranya dibuat lagi, heret segera mereka ini untuk pendakwaan. Mohon maaf bukan alat untuk melepaskan diri, mereka yang salah dalam hal ini perlu dihukum dengan hukuman yang setimpal,” katanya.

Baru-baru ini, seorang wanita telah menularkan tular klip video berdurasi dua minit 50 saat yang memetik di luar konteks sebahagian kecil titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada 2013 berkaitan parti Pas, yang dikatakan mengaitkan dan mengheret kedudukan baginda bagi tujuan politik kepartian bagi tujuan meraih kepentingan politik.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor pula pada 18 Julai lepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang kerana mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam turut mengecam tindakan individu tertentu menggunakan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang disunting bagi tujuan politik dan berkata beliau tidak akan bersimpati dengan mana-mana pihak yang tidak menghormati institusi diraja.

Sivamurugan berkata, pemimpin parti politik terutamanya yang bercakap di pentas terbuka perlu menampakkan kematangan ke arah politik berhemah dan menampilkan isu rasional, praktikal yang sesuai hala tuju masa depan negara, bukan hanya bermain dengan emosi rakyat hanya untuk meraih undi.

"Jika sekiranya isu ini dimainkan bukankah ia membawa kepada politik kebencian yang sepatutnya ditolak sama sekali dalam usaha kita meraikan kepelbagaian untuk mempertahankan apa yang telah kita bina selama ini,” katanya.

Ahli pemegang amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mahukan supaya setiap pemimpin menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat, terutama dalam menyemai benih perpaduan di kalangan masyarakat berbilang bangsa.

"Ia harus bermula dengan pemimpin politik, sebab mereka harus jadi teladan baik kepada rakyat, kalau dia sebagai pemimpin dia guna isu seperti ini, ia bukan contoh yang baik,” katanya.

Aktivis masyarakat yang kini berusia 76 tahun itu berkata, perpaduan dan keharmonian kaum merupakan faktor penting yang akan menentukan kestabilan dan kemakmuran negara pada masa akan datang.

"Kalau kita nak mencapai atau berusaha ke arah perpaduan, kita mesti berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, kerana kedua-duanya asas penting dalam pembinaan negara.

"Jadi kalau kita menghormati dan mengamalkan kedua-dua ini, kita harus elak menyentuh isu 3R ini, isu ini sensitif yang boleh mencetuskan keadaan huru-hara dan konflik antara kaum,” katanya.

Beliau berkata, tidak salah berdebat sebagai ruang kerajaan dan pembangkang menyampaikan pandangan masing-masing, namun sewajarnya elak menyentuh isu 3R, kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

"Gunalah isu lain, ada banyak lagi isu lain yang boleh disentuh,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!