38 generasi baharu Felda terima tajaan biasiswa, bakal pemimpin digital masa hadapan
Inisiatif pendidikan FELDA terhadap generasi baharu ini merupakan salah satu inisiatif FELDA dalam usaha memperkasa pelajar-pelajar cemerlang Felda untuk menguasai kemahiran dalam bidang kepimpinan digital global, dengan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang IT dan Teknologi di universiti tersebut.
Ia juga bertujuan melahirkan generasi baharu Felda yang memiliki pengetahuan tinggi dan mahir dalam bidang digital yang semakin penting dalam era ini.
Salah seorang penerima biasiswa, Sudhaarshan Nair A/L Gopalan yang merupakan cucu peneroka Felda Palong 5, Negeri Sembilan berkata, dia berasa gembira dan bersyukur kerana menjadi antara pelajar yang dipilih.
Melalui program tersebut, Sudhaarshan berkata, ia dapat membantu dirinya mencapai bercita-cita iaitu untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat terkemuka negara.
“Selepas tamat pengajian, saya akan pastikan saya menyumbang yang terbaik kepada Felda dan menjadi seorang ketua yang baik pada masa akan datang terutama dalam pendigitalan.
“Saya berharap supaya GDL ini akan berikan fokus kepada pendigitalan. Jadi saya boleh memberikan fokus yang lebih untuk ke arah menjadi pemimpin berkenaan digital,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Tajaan Program Digital Leadership (GDL) Pelajar Cemerlang Felda di Dewan Perdana Felda di sini.
Sementara itu, Nor Hidayah Muhamad, anak peneroka Felda Chalok Barat, Terengganu berkata, beliau mahu menjadi contoh terbaik dan pemangkin kepada anak Felda di kawasannya untuk lebih berjaya.
“Saya gembira kerana terpilih memperoleh biasiswa ini dan saya boleh menjadi contoh kepada pelajar- pelajar iaitu anak-anak Felda di kampung saya,” ujarnya.
Manakala menurut Faaiz Firdaus Badrul Izham dengan menyambung pengajian di APU yang mempunyai fasiliti berteknologi tinggi, membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk belajar.
“Saya rasa amat bertuah kerana dapat tawaran ini.
“Saya juga berharap akan bekerja dengan Felda satu hari nanti supaya dapat memajukan lagi teknologi sedia ada untuk digunakan dalam proses industri,” ujarnya.
Menurut beliau, ia penting bagi mentransformasikan negara kepada gaya hidup digital selaras dengan era globalisasi.
“Mengapa Felda tawarkan bidang GDL kerana gaya hidup digital ini memerlukan kepimpinan yang mempunyai misi, roadmap dan juga visi ke arah itu.
“Oleh itu, ia memerlukan penggerak dan pemimpin untuk menerajui negara ke arah pelaksanaan gaya dan amalan digital secara menyeluruh.
“Kita sudah ada telefon pintar, bandar pintar, kerajaan yang pintar dan sebagainya. Jadi, sekarang saya nak lihat Felda pintar akan dapat diwujudkan dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, program GDL itu juga mengembangkan kemahiran kepimpinan dan keusahawanan pelajar melalui pelbagai aktiviti dan projek kolaboratif.
Menurutnya, ia adalah langkah positif dalam memperkukuhkan potensi dan daya saing warga belia tempatan terutamanya yang berasal dari komuniti Felda.
“Kesemua 38 mereka ini adalah yang terbaik daripada yang terbaik. Kita lebih mementingkan dan mahukan kualiti berbanding kuantiti," katanya.
Mohd Banuri mengharapkan agar program tersebut mampu melahirkan generasi Felda yang terdidik dan kompeten dalam teknologi maklumat serta komunikasi untuk manfaat pembangunan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!