RTM Sarawak beri liputan adil kepada semua pihak

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak akan sentiasa berusaha memberi liputan secara adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat selaras dengan dasar kerajaan memperjuangkan kebebasan media.

RTM, dalam satu kenyataan hari ini, berkata dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, RTM telah membuat liputan 181 aktiviti melibatkan ketua menteri, menteri-menteri dan Kerajaan Negeri Sarawak, yang disiarkan melalui pelbagai platform.

“Ini termasuk dalam program berita ehwal semasa di radio, televisyen dan media sosial...laporan juga disiarkan dalam pelbagai bahasa dan dialek tempatan,” kata RTM sebagai mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengenai liputan RTM di Sarawak.

Katanya kenyataan Abdul Karim bahawa RTM tidak membuat liputan untuk program kerajaan negeri dan ketua menteri adalah tidak berasas.

Untuk makluman, RTM berusaha sebaik mungkin membuat liputan semua aktiviti di negeri ini, menurut kenyataan RTM itu lagi.

Dalam kenyataannya, RTM turut berkata selaras dengan dasar kerajaan memperjuangkan kebebasan media dan atas arahan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, RTM bebas untuk membuat liputan media aktiviti-aktiviti Kerajaan Negeri Sarawak. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!