Penjual ikan hilang punca pendapatan akibat masalah kesihatan
BEDONG - Seorang penjual ikan dari Keda Sungai Tok Pawang di sini hilang punca pendapatan sejak beberapa bulan lalu akibat masalah kesihatan yang dihidapinya.
Mohd Salim Awang Kecil, 61, kini tidak mampu lagi keluar bekerja selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di kepala dan atas tumit beberapa bulan lalu.
Selain menghidap sakit saraf sejak lebih 10 tahun lalu, Mohd Salim berkata, doktor terpaksa membuang kulit di bahagian bawah lutut kiri dan kini pergerakannya terbatas.
"Bahagian (kaki) ini bertukar hitam semua sampai sekarang," katanya.
Isterinya, Nor Hayati Yusof, 51, berkata, segala pergerakan dan kegiatan harian suami perlu diuruskannya selain dibantu anak-anak.
Setakat ini, tiada sebarang bantuan bulanan diterima memandangkan masih belum membuat permohonan kepada agensi berkaitan.
"Tak dan (sempat) lagi nak mohon sebab saya tak reti (tahu) bawa kenderaan, semua urusan sebelum ini suami uruskan.
"Namun, kini, suami tak mampu uruskan, jadi sukar nak ke pejabat untuk buat semua benda," katanya.
Sementara itu, penderitaan Mohd Salimmendapat perhatian calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Mohammed Firdaus Johari yang membuat kunjungan ziarah dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) Kedah ke rumahnya pada Selasa.
Menurut Mohammed Firdaus, pihaknya akan membantu keluarga itu bagi tujuan memajukan permohonan bantuan bulanan.
"Bagaimanapun, borang permohonan perlu dihantar ke agensi berkaitan bagi menunggu proses kelulusan sekiranya layak," katanya.
Pada PRN 12 Ogos ini, Mohammed Firdaus (PKR) akan bertemu bintang bola sepak yang juga bekas kapten Kedah Darul Aman FC, Baddrol Baktiar (Pas) yang telah diumumkan secara rasmi turut bertanding di kerusi Gurun.
DUN Gurun sebelum ini disandang bapa Mohammed Firdaus, Tan Sri Johari Abdul sebelum melepaskan jawatan setelah dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!