Agong rasmi Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WQ Park Kuantan
KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WQ Park Kuantan di sini pada Rabu.
Turut berangkat ke majlis itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengarah Urusan WQ Park, Datuk Seri Dr Zulkharnain Ismail.
Sempena perasmian cawangan kelima WQ Park di Mahkota Valley di sini itu, Seri Paduka Baginda berdua turut dibawa meninjau kemudahan dan perkhidmatan pemulihan komprehensif yang ditawarkan di pusat itu.
Sementara itu, Dr Zulkharnain berkata, melalui pembukaan Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WQ Park Kuantan memberi peluang kepada penduduk negeri ini untuk mendapatkan perkhidmatan pemulihan yang komprehensif.
Menurutnya, WQ Park merupakan satu-satunya pusat sehenti di negara ini yang mempunyai pasukan dengan pelbagai latar belakang disiplin untuk pemulihan fizikal dan bantuan kesihatan mental itu.
"Selain cawangan terbaharu di Kuantan ini, WQ Park yang ditubuhkan sejak 2010 turut berada di Kelana Jaya, Bangi, Sentul dan Johor Bahru.
"Sepanjang 13 tahun penglibatan dalam rawatan pemulihan ini, WQ Park telah membantu lebih 13,000 pesakit dan menyentuh lebih 50,000 jiwa dalam tempoh itu.
"Lebih membanggakan, WQ Park juga telah diiktiraf sebagai pusat Inisiatif Rehabilitasi Terbaik di Malaysia oleh Healthcare Asia Awards 2023," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis perasmian pusat itu di sini pada Rabu.
Dr Zulkharnain berkata, WQ Park komited menyediakan penjagaan yang berkualiti tinggi dan sentiasa terbuka dengan inovasi serta teknologi terkini dalam rawatan terapi untuk kekal di barisan hadapan dalam industri rehabilitasi di negara ini.
"Komitmen itu dapat dilihat melalui teknologi robotik rehab yang disediakan di pusat ini," ujarnya.
Sementara itu beliau berkata, pihaknya juga telah melancarkan inisiatif WQCares pada 2020 untuk membantu mereka yang memerlukan
"Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat dalam aspek kesihatan fizikal mahupun mental.
"Kami telah bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memberikan bantuan dan setakat ini kira-kira 200 keluarga telah mendapat manfaat inisiatif itu," katanya.
Jelasnya, lanjutan dari itu, WQ Park telah mempelbagaikan bantuan untuk disumbangkan kepada golongan yang memerlukan hingga tercetus inisiatif WQ4Rakyat.
"Buat julung kalinya WQ Park akan menyediakan prasarana khas untuk kanak kanak berkelainan upaya yang dinamakan WQSensesPark di Pahang.
"WQSensesPark merupakan bilik yang direka khas pasukan kami terdiri klinikal psikologis, terapis cara kerja, terapis pertuturan, fisioterapis dan pegawai intervensi berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun," jelasnya.
WQSensesPark disediakan di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Sungai Talam, Indera Mahkota dan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sri Nilam, Balok.
Bilik yang direka khas itu mengandungi kombinasi enam elemen deria utama iaitu, sentuhan, penglihatan, pendengaran, bau, keseimbangan badan, pergerakan otot dan sendi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!