Hanya satu ujian teori untuk lesen motosikal, kereta
PUTRAJAYA - Individu yang telah mempunyai lesen memandu kereta atau motosikal tidak perlu jalani ujian teori kali kedua untuk memohon lesen dalam kelas berlainan, berkuat kuasa 15 September ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Sebagai contoh, katanya, seseorang yang sudah lulus ujian Kursus Teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) dalam lesen memandu motosikal tidak perlu menduduki KPP01 untuk kali kedua apabila mengambil lesen memandu kereta.
Calon, bagaimanapun, masih wajib menjalani latihan dan menduduki ujian praktikal di litar dan praktikal di jalan raya secara berasingan apabila mengambil lesen memandu motosikal dan kereta, katanya.
"Umum mengetahui bahawa dalam kalangan rakyat Malaysia kebanyakannya mengambil lesen bagi motosikal dan kereta. Jadi kita gabungkan kelas teori dan ujian tersebut kerana tak perlu duduk dua kali,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Anthony berkata, kaedah penggabungan itu pernah diamalkan di Malaysia sebelum ini sebelum ia diubah pada satu ketika, serta menambah sistem itu tidak akan menjejaskan tahap kekompetenan pemandu.
"Kita bawa balik sistem itu (sistem lama) gabungkan untuk mudahkan pemohon," katanya ia memudahkan cara pengambilan lesen memandu serta menjimatkan masa dan kos sehingga RM100 bagi pemohon lesen. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!