Quranic Solution rungkai isu berpandukan al-Quran di TV9
SHAH ALAM – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak orang ramai untuk menonton program Quranic Solution sebanyak 24 episiod yang bersiaran di TV9 pada jam 10.30 malam, setiap Khamis bermula hari ini (3 Ogos 2023).
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program bual bicara yang membongkar pelbagai masalah ummah dengan panduan solusi menerusi al-Quran dan Sunnah.
Menurutnya, sesi tersebut dimulakan dengan bacaan al-Quran yang dibimbing oleh qari dan kupasan tadabbur oleh pentadabbur.
“Program tersebut bukan bertujuan untuk berbahas, tetapi lebih kepada penerangan dan penjelasan dalam sesuatu perkara. Mungkin ada yang melihat hukum itu adalah perkara yang membebankan.
"Kerangka fikir yang ingin dibawa oleh Quranic Solution bukan hanya pada hukum, tetapi menghargai proses yang membawa hukum tersebut, berkaitan kasih sayang yang ditonjolkan dalam Islam," katanya pada Rabu.
Mengambil contoh soal harta perwarisan, beliau berkata, disebalik hak tersebut ada nilai tanggungjawab yang perlu dipikul.
"Inilah antara perkara yang perlu masyarakat fahami. Hasil pengisian daripada Quranic Solution mampu memberi pencerahan kepada penonton mengenai isu yang dibincangkan.
“Kebiasaannya masyarakat menjadi bingung kerana mereka mempunyai persepsi yang salah dan tiada solusi yang jelas.
"Selagi kita berpandu kepada teori daripada manusia, ia ada kelompongan. Tanpa al-Quran, ia tiada jalan penyelesaian yang tuntas bagi mana-mana permasalahan dan isu yang berlaku di dunia ini," jelasnya beliau.
Marhaini berkata, Quranic Solution menjadi program yang menyuluh dan menjernihkan sesuatu isu dengan menghimpunkan qari, pentadabbur dan pakar dan bidang masing-masing.
"Setiap isu yang dibawa adalah dekat di hati masyarakat dengan mendapatkan solusi dengan menggali mutiara dalam al-Quran. Golongan sasaran bagi program Quranic Solution ialah orang awam hingga para pembuat dasar, terutamanya mereka yang menghadapi cabaran dan dahagakan panduan dan formula al-Quran.
“Kami mengundang panel daripada kalangan pentadabbur, qari serta pakar dalam bidang masing-masing dari pelbagai organisasi untuk mengupas topik yang dibincangkan.”
Tambahnya, personaliti TV, Finaz Yunus dipilih sebagai hos Quranic Solution berdasarkan pengalaman beliau sebagai penerbit dan hos yang banyak menerbitkan program bual bicara secara dinamik.
:Beliau bersilih ganti menjadi hos bersama Ustaz Khairul Haffiz Halim. Orang ramai boleh ikuti siaran ulangan di platform digital Quranic Solution, World Quran Hour dan My #QuranTime Official pada pukul 9 malam, setiap Sabtu.
"Untuk maklumat lanjut sila layari di Facebook Quranic Solution Official," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!