Allahyarham Tun Dr Ismail tokoh luar biasa - Fahmi

Pengunjung melihat sudut pameran ketika menghadiri pada Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka hari ini. - Foto Bernama
Pengunjung melihat sudut pameran ketika menghadiri pada Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyifatkan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman sebagai seorang tokoh yang luar biasa dalam sejarah negara.

Beliau berkata, Allayarham yang pernah memegang jawatan timbalan perdana menteri, adalah seorang pemimpin yang gigih dan tegas dalam memperjuangkan perpaduan bagi memastikan keharmonian kaum di tanah air ini.

Justeru, Fahmi berkata dedikasi dan sumbangan Allahyarham Tun Dr Ismail amat signifikan dalam membangunkan dan memajukan tanah air.

"Anak kelahiran Johor ini terkenal dengan ciri kepimpinan yang berprinsip, setia, ikhlas, jujur, taat, serius, tegas dan cekap. Beliau juga seorang pemimpin yang berpandangan jauh dalam memperkukuh hubungan antara kaum di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Fahmi berkata, Tun Dr Ismail juga berperanan dalam membantu memulihkan semula hubungan antara kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat untuk bertekad menjauhi daripada segala tingkah laku yang boleh membawa kepada perpecahan, perselisihan faham dan perasaan curiga antara satu sama lain.

"Peristiwa itu merupakan pengajaran dan peringatan kepada kita bahawa tanpa perpaduan, keharmonian dan saling menghormati antara masyarakat berbilang kaum, negara boleh menjadi lemah sehingga mengakibatkan kedaulatan negara terjejas, berlaku pertikaian kaum, huru-hara dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, Tun Dr Ismail merupakan antara pemimpin yang mencetuskan idea pembentukan Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara.

"Pada masa itu, Tun Dr Ismail merupakan anggota bagi Majlis Perundingan Negara yang berperanan memberi nasihat kepada Majlis Gerakan Negara (Mageran) mengenai perkara yang berkaitan dengan perhubungan kaum," katanya.

Mengenai majlis hari ini, Fahmi berkata, program itu bertujuan mendidik generasi muda untuk memperingati jasa dan bakti Allahyarham Tun Dr Ismail dalam usaha pembentukan sebuah negara bangsa bersama-sama dengan tokoh besar tanah air.

Oleh itu, beliau berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang merupakan penganjur utama berharap program itu dapat memberi kefahaman kepada masyarakat tentang penat lelah dan usaha pemimpin terdahulu dalam mengekalkan keharmonian negara.

"Janganlah kita terlalu leka dengan kesenangan yang dikecapi hari ini, marilah bersama-sama mengekalkan keharmonian dan perpaduan untuk dinikmati oleh generasi akan datang," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!