Negara tanpa perpaduan gugat kedaulatan - Fahmi

Fahmi (dua dari kanan) dan Fadillah (tengah) ketika menunggu ketibaan Anwar pada Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al Haj: Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka pada Rabu.
Fahmi (dua dari kanan) dan Fadillah (tengah) ketika menunggu ketibaan Anwar pada Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al Haj: Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Negara tanpa perpaduan, keharmonian dan saling menghormati antara masyarakat berbilang kaum boleh mengakibatkan kedaulatan Malaysia menjadi lemah dan tergugat.

Justeru, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil meminta semua pihak mengambil pengajaran dan peringatan daripada Peristiwa 13 Mei 1969.

"Tanpa nilai-nilai tersebut negara boleh menjadi lemah dan mudah berlaku pertikaian kaum dan hura-hara.

"Maka kita perlu menyemarakkan semangat perpaduan, kebersamaan dan toleransi yang tinggi antara kaum.

"Marilah kita bertekad untuk menjauhi daripada segala tingkah laku yang boleh membawa kepada perpecahan, perselisihan faham dan perasaan curiga antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al Haj: Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka, pada Rabu.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Berikutan itu, Fahmi turut memberitahu, tokoh Negarawan, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman antara individu yang memainkan peranan bagi memulihkan hubungan antara kaum dalam peristiwa hitam 13 Mei 1969 itu.

Ujarnya, bekas Timbalan Menteri itu merupakan seorang tokoh luar biasa dalam sejarah negara dan pemimpin yang gigih serta tegas dalam memperjuangkan perpaduan bagi memastikan keharmonian kaum di tanah air ini.

"Dedikasi dan sumbangannya amat signifikan dalam membangunkan dan memajukan tanah air," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!