PRN: Calon Bebas dakwa wujud elemen 'jual kerusi'
SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Mohammed Hafiz Baharudin mendakwa wujud elemen 'jual kerusi' dalam pemilihan calon Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan.
Beliau yang merupakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, dakwaan itu timbul selepas mendapati senarai calon yang diumumkan sangat lemah dan tidak berpotensi untuk menang.
"Bukanlah rahsia dalam PN ramai kecewa dengan senarai calon pilihan pimpinan PN yang seolah mengkhianati semangat rakyat negeri ini yang mahukan perubahan.
"Malah ada yang cakap dalam PN ada pihak menjual kerusi apabila dengan sengaja mengenepikan calon boleh menang dan meletakkan calon lemah," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.
Dakwanya, calon-calon yang ditampilkan bukan saja lemah malah ada yang berusia lebih 70 tahun.
Disebabkan itu katanya, tidak keterlaluan jika dikatakan PN Negeri Sembilan memilih untuk kalah awal dalam pilihan raya ini sedangkan terdapat ramai calon lebih berkelayakan dan berpengalaman.
"Saya dan rakan-rakan sedang menyiasat serta mengumpulkan bukti berkenaan itu kerana dalam kalangan PN ramai yang bercakap mengenainya.
"Malah rakan-rakan dalam PN juga merestui keputusan saya bertanding sebagai calon Bebas kerana kecewa dengan senarai calon dikeluarkan," katanya.
Tambah Mohammed Hafiz, beliau percaya PRN kali ini adalah untuk menyelamatkan Melayu dan integriti khsuusnya di Negeri Sembilan.
DUN Sikamat bakal menyaksikan pertembungan antara Mohammed Hafiz dan tiga lagi calon iaitu Datuk Seri Aminuddin Harun (PH), Ahmad Raihan Muhamad Hilal (PN) dan Mohammed Hafiz Baharudin (Bebas).
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!