Wanita dibakar suami dalam keadaan kritikal

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KEPALA BATAS - Wanita yang melecur sehingga 27 peratus pada anggota badan akibat dibakar suaminya menggunakan petrol dalam kejadian di rumah mereka di kawasan perumahan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor di sin kelmarin, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, mangsa berusia 35 tahun itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) dan berada di bawah pemantauan doktor pakar.

"Berdasarkan maklumat doktor yang merawat mangsa, wanita itu berada dalam keadaan kritikal dan pasukan perubatan sedang membuat pemantauan rapi," katanya, ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Katanya, operasi mengesan suspek, yang juga suami mangsa itu, giat dijalankan namun polis percaya pekerja ladang berusia 36 tahun itu masih berada di sekitar Pulau Pinang atau bersembunyi di negeri jiran sahaja.

"Dalam operasi bagi mengesan suspek yang dijalankan oleh pihak polis semalam, kami mendapat maklumat daripada saksi yang memaklumkan ternampak lelaki itu telah keluar dari kawasan ladang sawit tersebut dengan menumpang sebuah van kilang.

"Polis akan mengesan van kilang itu bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung pergerakan suspek bagi mengesannya untuk membantu siasatan kes tersebut," katanya.

Mohd Asri berkata pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat suspek agar menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, wanita tersebut melecur tahap tiga akibat dibakar suaminya menggunakan petrol dalam kejadian perselisihan faham keluarga di rumah mereka.

Pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 10.45 malam daripada jiran mangsa, sebelum sepasukan polis terus ke lokasi, namun mangsa relah dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB).

Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri yang bekerja di ladang kelapa sawit itu, mempunyai empat orang anak berusia 10 hingga 13 tahun dan semasa kejadian, anak-anak mereka berada di rumah yang disediakan majikan mereka di ladang tersebut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!