Kedah waspada tentangan sengit pemain muda Perak
KEDAH Darul Aman FC (KDA) FC tidak memandang rendah keupayaan Perak FC apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Perak, malam Khamis.
Ketua Jurulatihnya, Nafuzi Zain berkata, The Bos Gaurus menampilkan aksi yang semakin baik sejak akhir-akhir ini biarpun dua kemenangan pada aksi Liga Super 2023 berpihak kepada Sang Kenari.
"Aksi menentang Perak di tempat lawan pada saingan Piala Malaysia kali ini adalah cabaran yang tidak mudah buat kami.
"Perak menampakkan peningkatan dan ditambah pula dengan import baharu dan pemain yang mengalami kecederaan sebelum ini juga sudah kembali bermain dengan pasukan yang menunjukkan persefahaman semakin baik dan tersusun," katanya mengulas aksi tersebut pada Rabu.
Jelasnya, pemain KDA FC perlu bersedia mental dan fizikal kerana percaya lawan bakal memberikan tentangan yang cukup sengit terutama daripada pemain-pemain muda pasukan tuan rumah.
"Dari segi persiapan kita perlu lebih bersedia kerana kita akan beraksi dua kali dan sudah semestinya kita mahu mencari satu keputusan yang positif untuk dibawa pulang bagi menghadapi pusingan kedua perlawanan di Alor Setar.
"Saya menyeru penyokong Kedah supaya hadir memberi sokongan buat pasukan apabila kita beraksi di Ipoh nanti kerana kehadiran penyokong sendiri mampu menyuntik semangat Sang Kenari," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!