Paras rupa dipuji, Khaliq Mehtab minta pengundi lihat trek rekod

Khaliq Mehtab - Foto Bernama (Kanan: Tangkap layar ruangan komen pengguna Twitter pada Isnin)
Khaliq Mehtab - Foto Bernama (Kanan: Tangkap layar ruangan komen pengguna Twitter pada Isnin)
A
A
A

SHAH ALAM - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq menyarankan supaya orang ramai melihat berdasarkan kepada trek rekod prestasinya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berbanding paras rupa.

Khaliq Mehtab sebelum ini berjaya memenangi kerusi berkenaan pada PRU14 melalui tiket Pakatan Harapan (PH), menewaskan calon lain Barisan Nasional (BN) dan Pas dengan majoriti sebanyak 219 undi.

Pada 24 Februari 2020, beliau menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan memihak kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Memetik laporan TheStar, Khaliq Mehtab akui terkejut apabila mengetahui video yang memperlihatkan dirinya ketika hari penamaan calon itu mula meraih tumpuan ramai di dalam media sosial.

Selain itu, terdapat beberapa komen daripada netizen yang turut memuji paras rupa bekas ADUN berkenaan.

Sehingga kini, video perkongsian tersebut meraih sebanyak 1.5 juta tontonan dan 159 ulang ciap.

Salah seorang pengguna Twitter, @ezzam41 dalam ruangan komen video berkenaan berkata, Khaliq Mehtab masih kelihatan segak meskipun sudah berumur.

“Tua pun segak haha,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna Twitter lain, @marijuanx turut memuji paras rupa beliau.

“Astaghfirullahalazim handsome sungguh,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Khaliq Mehtab, beliau telah turun padang sebelum kempen bermula untuk mendapatkan maklum balas terus daripada pengundinya.

“Sejujurnya, saya telah memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat di sini (Bertam) sejak 2018. Biarkan trek rekod saya menjadi ‘hakim’ (penentu).

“Saya rasa penduduk Bertam mengenali saya dengan baik. Komitmen saya terhadap mereka tetap sama.

"Saya akan terus berkhidmat kepada pengundi saya sebaik mungkin jika saya diberi peluang lagi,” katanya pada Rabu.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!