Saya akan terus kempen ajak pengundi pilih calon PN - Sanusi

Sanusi (tengah) memenuhi permintaan orang ramai untuk bergambar ketika hadir majlis Sembang Santai bersama MB Kedah di Flat Alor Malai, pada Rabu.
Sanusi (tengah) memenuhi permintaan orang ramai untuk bergambar ketika hadir majlis Sembang Santai bersama MB Kedah di Flat Alor Malai, pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan terus berkempen untuk mengajak pengundi memilih calon PN yang ditampilkan dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Beliau berkata, biarpun terdapat beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri menunjukkan terdapat protes terhadap calon, sehingga menyebabkan wakil parti dalam gabungan itu bertanding sebagai calon Bebas, ia tidak akan menjejaskan sokongan kepada PN.

“Perkara sudah pun berlaku. Parti (peringkat Pusat) juga sudah bertindak, saya dimaklumkan sudah ada surat untuk pemecatan terhadap ahli parti yang bertanding sebagai calon Bebas. Itu sahaja tindakan pada peringkat ini,” katanya ketika ditemui selepas hadir program Sembang Santai bersama MB Kedah di Flat Alor Malai, di sini pada Rabu.

Menteri Besar Kedah itu berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan bekas Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie yang masing-masing bertanding calon Bebas di DUN Kuah dan Ayer Hangat sebagai protes terhadap calon luar ditampilkan PN.

Sementara di Kota Siputeh, penyokong PN menurunkan bendera gabungan itu sebagai tanda tidak berpuas hati terhadap calon luar diketengahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Di Bayan Lepas, Pulau Pinang pula menyaksikan pemimpin Pas secara terbuka menempelak Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang ditampilkan sebagai calon PN di kerusi majoriti Melayu itu.

Ditanya sama ada PN bimbang sekiranya berlaku undi protes di kawasan terlibat sehingga ahli parti tersebut memberi undi kepada pihak lawan, Muhammad Sanusi optimis untuk terus berkempen secara sihat.

“Kita harus kekal untuk ajak orang ramai mengundi PN. Itu saja (kempen),” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!