BN Kuang berdepan cabaran pertahan undi asas
SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang berdepan cabaran mempertahan undi ‘baseline’ (asas) dalam kalangan pengundi bagi meningkatkan peluang untuk bersaing dalam pilihan raya negeri (PRN).
Calon BN DUN Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata, ia berikutan persaingan tiga penjuru di kawasan tersebut dijangka menjadi sengit dan secara langsung, menyukarkan peluang BN memperoleh sokongan undi yang kukuh dengan mudah.
“UMNO dan BN mempunyai undi blok yang sedia ada dalam DUN Kuang, maka yang kita hendak cari adalah mengembalikan undi dulu yang kita ada, yang telah terlepas pada 2018, apabila kita kalah pada kali pertama.
“Cabaran yang saya ada hari ini ialah sebenarnya untuk mengekalkan undi asas yang kita dapat semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu, sudah termasuk undi orang yang telah merajuk, keluar meninggalkan UMNO dan sebagainya, maka undi berbaki itu kita kira sebagai undi asas.
“Saya punya misi adalah untuk mempertahankan dulu undi asas. Jangan hilang itu,” katanya ketika dalam Sinar Live bertajuk Tiga Penjuru: Cabaran Undi Berpecah yang dihoskan oleh Nurul Riduan Nor Ashaha pada Rabu.
Ujar beliau, walaupun pihaknya berjaya meredakan kemarahan pengundi dan dapat menyakinkan mereka supaya kembali mengundi BN sekalipun, peluang untuk menang dalam PRN mungkin tipis sekiranya undi asas yang ada jatuh lebih rendah daripada sekarang.
Dalam pada itu, menurutnya, ramalan persaingan PRN pada kali ini juga kabur dan sukar dibaca susulan penglibatan penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Sallehudin Amiruddin yang membuat kejutan apabila bertanding semula selaku calon bebas di kawasan berkenaan.
“Persaingan ini memang sengit untuk tiga penjuru kerana ia sukar untuk dibaca, bahawa bagaimana penyertaan semula Sallehudin sebagai calon bebas boleh menjejaskan undi sama ada BN ataupun PN. Ia sukar dibaca buat masa ini,” ujarnya.
PRN melibatkan kawasan DUN Kuang bakal menyaksikan persaingan sengit melibatkan tiga penjuru.
Pertembungan itu membabitkan Hasnal Rezua bersaing dengan Sallehuddin sebagai calon Bebas dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rafiq Mohd Abdullah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!