Piala Malaysia: JDT miliki kualiti kekal kejuaraan

Arif Aiman Hanapi (kiri) antara tonggak JDT ketika mengelecek pemain Selangor FC, Muhammad Fazly Mazlan pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim baru-baru ini. GAMBAR KECIL: Mohd Azraai
Arif Aiman Hanapi (kiri) antara tonggak JDT ketika mengelecek pemain Selangor FC, Muhammad Fazly Mazlan pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim baru-baru ini. GAMBAR KECIL: Mohd Azraai
A
A
A

PENYANDANG juara Johor Darul Ta'zim (JDT) dijangka tidak berdepan masalah mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia apabila saingan trofi berprestij bola sepak negara itu menyingkap tirai pada Khamis.

Malah, menurut jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah, perancangan pendahulu Liga Super itu untuk mengekalkan trofi kejuaraan 2022 berada di landasan terbaik pada ketika ini.

“Sejujurnya dari pengamatan saya, momentum JDT sememangnya sukar ditandingi pada musim ini, untuk saingan liga sahaja mereka sudah meninggalkan jauh pasukan lain.

“Saya tidak nampak pasukan lain Liga Malaysia dapat menyaingi JDT dengan momentum mereka yang kini berada pada prestasi kemuncak.

“Saingan musim ini banyak menyebelahi JDT, baik dari segi perancangan jurulatih dan kualiti pemain yang dibuktikan apabila mereka berjaya mengekalkan kejuaraan Piala FA baru-baru ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Harimau Selatan kendalian pengendali Esteban Solari akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dengan melayan Kelantan FC dalam perlawanan pusingan 16 timbal balik pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.

Sebagai rekod, Harimau Selatan muncul juara Piala Malaysia selepas menewaskan Selangor FC, 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada tahun lalu.

Tambah Mohd Azraai, kekuatan barisan pemain Harimau Selatan di bangku simpanan juga setanding dengan kesebelasan utama juara Liga Super sembilan kali berturut-turut tersebut.

“Sekiranya pasukan lawan bermain taktikal defensif yang menyebabkan para pemain JDT keletihan, barisan pemain gantian JDT masih mampu deliver sama seperti pemain kesebelasan utama.

“Jadi ini antara kelebihan yang saya lihat lebih memihak kepada JDT yang tidak dimiliki pasukan lain, dan setiap musim mereka akan tampil lebih baik dengan pasukan lebih berkualiti.

“Biarpun JDT lebih dominan musim ini, saya percaya setiap pasukan Liga Malaysia lain masih mampu memberi cabaran kepada kelab terbaik Malaysia ini,” katanya yang meramalkan Harimau Selatan akan mengekalkan tiga kejuaraan utama dimenangi musim lalu.


PIALA MALAYSIA - PUSINGAN 16 TERBAIK

PERLAWANAN PERTAMA

KHAMIS (3 OGOS)

Perak FC lwn Kedah Darul Aman FC

(Stadium Perak, 8.15 malam)

Penang FC lwn Kuala Lumpur City FC

(Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 9 malam)

PDRM FC lwn Selangor FC

(Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam)

JUMAAT (4 OGOS)

Kelantan FC lwn Johor Darul Ta'zim

(Stadium Sultan Muhammad IV, 8.15 malam)

Harini FT lwn Sri Pahang FC

(Stadium Tuanku Abdul Rahman, 9 malam)

Kuala Lumpur Rovers lwn Terengganu FC

(Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, 8.15 malam)

SABTU (5 OGOS)

Kelantan United lwn Negeri Sembilan FC

(Stadium Sultan Muhammad IV, 5.30 petang)

Kuching City FC lwn Sabah FC

(Stadium Negeri, 8.15 malam)

* Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan MFL


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!