Jaga tutur kata, kempen secara 'gentleman'

Kita perlu menanamkan sikap profesionalisme bagi memastikan pesta demokrasi ini mencapai tujuannya untuk membina negara. (Gambar hiasan)
Kita perlu menanamkan sikap profesionalisme bagi memastikan pesta demokrasi ini mencapai tujuannya untuk membina negara. (Gambar hiasan)
A
A
A

PESTA demokrasi di negara kita tiba lagi dan kali ini membabitkan enam negeri, termasuk satu pilihan raya kecil (PRK) di Kuala Terengganu pada 12 Ogos nanti.

Pilihan raya negeri (PRN) kali ini pastilah tumpuan terarah kepada keupayaan Kerajaan Perpaduan membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang akan diuji buat kali pertama.

Begitu juga dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berdepan PRN pertama selepas menjadi orang nombor satu negara.

Setiap kali pilihan raya, sudah tentu yang paling sibuk selain calon adalah jentera parti.

Bermula dengan memasang poster, bendera dan kemudian merayu undi, merekalah yang mewarnai setiap pilihan raya yang diadakan selama ini.

Seperti beberapa posting yang tular di media sosial, agak canggung bila kita membaca mengenai penyokong BN memakai baju PH, entiti politik yang selama ini dimusuhi.

Begitu juga sebaliknya, apabila jentera PH pula berarak menyokong calon BN pada hari penamaan calon.

Seperti diumumkan, 572 calon akan bertanding di seluruh negara, sudah tentu membabitkan ribuan jentera yang akan membawa panji perjuangan.

PRN adalah medan untuk rakyat memilih pemimpin yang mewakili parti politik dengan dasar membantu rakyat dan memakmurkan negeri.

Sebenarnya PRN kali ini membawa kita kepada satu ruang lingkup dinamika politik baharu di Malaysia.

Dulu musuh, kini kawan dan begitu juga sebaliknya.

Isu mengenai terdapatnya penyokong parti menggelarkan calon berbeza ideologi dengan gelaran yang melampau tidak sewajarnya berlaku. Ini sudah tahun 2023.

Sepatutnya tiada lagi politik kotor, caci maki, mencerca, menjatuhkan maruah serta menggunakan sentimen peribadi sebagai bahan kempen.

Bahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berulang kali telah mengingatkan calon-calon yang bertanding supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak wajar khususnya berbaur 3R (agama, raja, kaum) kerana mereka akan dipertanggungjawabkan ke atas sebarang provokasi yang dilakukan oleh penyokong mereka.

Calon-calon juga, katanya, perlu bijak mengawal penyokong mereka daripada bertindak di luar kawalan.

Tawaran khidmat bakti kepada pengundi perlu bebas daripada unsur mengata secara berlebih-lebihan apatah lagi daripada bakal wakil rakyat.

Terbaru terdapat calon PRN diberi gelaran nama yang tidak elok oleh penyokong parti lawan.

Apa yang kita bimbang ialah ia akan menjadi trend sepanjang kempen PRN berbaki sepanjang minggu ini.

Janganlah pesta demokrasi ini bertukar menjadi kempen kata mengata, apatah lagi pilihan raya ini tujuannya untuk memilih pemimpin yang sepatutnya menunjukkan contoh terbaik.

Perlu diingat, PRN ini juga medan anak muda untuk terbabit sama dalam menentukan siapa yang akan dipilih sebagai kerajaan.

Jadi, sudah tentu penting bagi semua pihak untuk membawakan naratif politik matang, progresif dan harmoni sebagai ikutan dan contoh yang baik kepada pengundi muda.

Ia akan menjadi petunjuk kepada mereka untuk membawa haluan hidup dan menyertai banyak lagi pilihan raya pada masa akan datang.

Penyokong juga membawa nama parti, jadi segala tindakan perlulah secara bijaksana dan matang, bukannya menjadi medan menjatuhkan maruah dan mencerca pihak lawan.

PRN ini merupakan pentas terbaik bagi pemimpin politik membentangkan hala tuju parti, sekiranya gelagat dan kerenah penyokong yang kurang bijak melakukan sesuatu tidak wajar, ia boleh memusnahkan calon parti masing-masing.

Kita juga perlu menanamkan sikap profesionalisme bagi memastikan pesta demokrasi ini mencapai tujuannya untuk membina negara.

Buat apa nak melebih-lebih, mengutuk dan mengata peribadi orang, inikan pilihan raya saja... gentleman la bro!

Kita semua faham jentera parti komited dan melipatgandakan segala kudrat serta usaha bagi memastikan kemenangan calon mereka.

Namun berhati-hatilah dalam apa jua yang diperkatakan, segala tutur bicara dan tindakan dilakukan apatah lagi jika menghina supaya jangan sampai menjadi bak kata pepatah Melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

*Nurhafiza Hasan ialah Penyunting Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!