SERC jangka KDNK Malaysia naik 4.5 peratus tahun ini

Perbelanjaan pengguna akan berkembang antara 4.5 hingga 5.0 peratus dalam tempoh terdekat manakala purata inflasi di bawah tiga peratus atau berkemungkinan besar pada 2.8 peratus. - Gambar hiasan
Perbelanjaan pengguna akan berkembang antara 4.5 hingga 5.0 peratus dalam tempoh terdekat manakala purata inflasi di bawah tiga peratus atau berkemungkinan besar pada 2.8 peratus. - Gambar hiasan
A
A
A

KELUARAN Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang antara empat peratus hingga lima peratus pada separuh kedua 2023 dan sebanyak 4.5 peratus untuk setahun penuh, kata Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC).

Pengarah Eksekutifnya, Lee Heng Guie berkata, permintaan pengguna akan terus menjadi pemacu utama ekonomi dalam baki bulan tahun ini, walaupun perbelanjaan kukuh yang disaksikan pada tahun sebelumnya mungkin tidak berulang.

Namun begitu, beliau menyatakan kesan asas yang tinggi pada separuh kedua 2022 akan mencabar prestasi KDNK bagi separuh kedua 2023, dengan risiko inflasi kekal dan di tengah-tengah pertumbuhan eksport yang lebih perlahan disebabkan oleh kelembapan dalam pertumbuhan global.

"Penjejakan kami terhadap data frekuensi tinggi mencerminkan bahawa ekonomi Malaysia telah menyederhana dalam beberapa bulan kebelakangan ini terutamanya permintaan untuk eksport, manakala perbelanjaan pengguna telah menjadi normal.

"Kita bertuah kerana kita masih mempunyai keadaan pasaran buruh yang stabil, yang mana, kadar pengangguran berada pada kira-kira 3.5 peratus, dan ini membantu menyokong selain memastikan agar perbelanjaan pengguna tidak akan jatuh mendadak tetapi hanya berkembang pada kadar yang lebih perlahan,” katanya pada taklimat media mengenai Penjejak Ekonomi Suku Tahunan Malaysia di sini hari ini.

Heng Guie menjangkakan perbelanjaan pengguna akan berkembang antara 4.5 hingga 5.0 peratus dalam tempoh terdekat manakala purata inflasi di bawah tiga peratus atau berkemungkinan besar pada 2.8 peratus.

Rasionalisasi subsidi berkemungkinan akan berlaku selepas pilihan raya membabitkan enam negeri berakhir, khususnya bagi menangani harga minyak, yang sekarang ini mencecah US$82 setong (US$1=RM4.55), melangkaui harga penanda aras US$80 setong yang ditetapkan oleh kerajaan dalam semasa ia memperuntukkan subsidi di bawah Bajet 2023.

Beliau juga berpendapat Bank Negara Malaysia (BNM) akan menangguhkan sementara Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus sehingga akhir tahun dan mengekalkan pendirian semasa yang akomodatif serta menyokong. pertumbuhan ekonomi.

"Sebarang perubahan kepada OPR adalah bergantung kepada bagaimana daya tahan ekonomi dan inflasi pengguna bertindak.

"Saya fikir tahap semasa adalah betul (kerana) ia tidak akan menjejaskan rakyat secara ketara. Ia masih menyokong ekonomi tetapi tidak terlalu membebankan perniagaan dan rakyat,” katanya sambil memetik BNM tidak akan mengurangkan kadar melainkan negara berada dalam kelembapan besar atau mungkin mengalami penurunan mendadak dalam bahagian permintaan.

Heng Guie menjelaskan OPR sepatutnya memberikan positif bersih kepada negara, keadaan apabila tahap OPR berada di atas inflasi.

"Jika anda berada dalam negatif bersih terlalu lama, maka orang ramai akan terus berbelanja dan meminjam untuk tidak produktif (aktiviti), maka ketidakseimbangan (kepada ekonomi) akan berlaku,” katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai petunjuk ekonomi lain berkata eksport, yang menguncup 4.5 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini akan menurun antara 5.0 dan 7.0 peratus untuk tahun penuh berikutan permintaan yang lemah.

Pertumbuhan global akan berterusan pada separuh kedua 2023 tetapi kekal tidak bermaya di tengah-tengah cabaran termasuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, inflasi teras yang kekal tinggi dan kesan kenaikan kadar faedah.

Bank-bank pusat global akan mengekalkan kadar faedah mereka pada paras yang tinggi selama mungkin sehingga inflasi turun ke tahap yang mereka anggap sebagai 'zon selesa' - yang mana kebanyakan ekonomi maju lebih suka ufuk 2.0 peratus.

Heng Guie menganggap bahawa kemelesetan yang dijangkakan di Amerika Syarikat mungkin berlaku pada suku terakhir tahun ini atau suku pertama 2024. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!