PN Kedah tawar 100,000 peluang kerja jika menang PRN

Abdul Hadi (tengah) melancarkan manifesto PRN Kedah pada Program Jelajah Mega PN Best di Dataran Darul Aman, Jitra pada malam Rabu.
Abdul Hadi (tengah) melancarkan manifesto PRN Kedah pada Program Jelajah Mega PN Best di Dataran Darul Aman, Jitra pada malam Rabu.
A
A
A

JITRA - Sebanyak 17 perkara ditawarkan dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) Kedah kepada rakyat negeri ini jika terus diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Manifesto itu dilancarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Program Jelajah Mega PN Best di Dataran Darul Aman, Jitra, dekat sini pada malam Rabu.

Antara tawaran itu adalah menyediakan 100,000 peluang pekerjaan berdaya saing dalam tempoh 30 tahun melalui pelaburan dan pelaksanaan projek berimpak tinggi termasuklah projek yang dirancang seperti di Bandar Raya Getah Kedah (KRC), Kedah Aerotropolis, dan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

PN juga pada masa sama berhasrat membina dan menyediakan rumah kos rendah dan mampu milik melalui inisiatif kerajaan dan swasta untuk pembeli rumah pertama dengan sasaran jumlah 15,000 rumah menjelang 2030.

Selain itu, gabungan itu juga berazam memastikan komitmen pelaburan domestik dan antarabangsa dengan pelbagai projek berimpak tinggi dengan sasaran RM10 bilion setahun seperti digariskan dalam Pelan Kedah 2035.

Dalam memastikan setiap rakyat memiliki rumah kediaman, PN turut menawarkan menyediakan lot tanah kediaman mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah serta meneruskan proses kelulusan permohonan hak milik tanah yang tertunggak sejak sekian lama.

PN turut berazam untuk menyelesaikan isu berkaitan bekalan air bersih di negeri ini yang berlarutan sejak sekian lama, secara meyeluruh selain mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) kepada 25 peratus menjelang 2037.

Jika terus diberikan mandat, PN Kedah mahu terus memperteguhkaan tadbir urus negeri yang profesional dan berintegriti, dengan menekankan keadilan serta kesejahteraan semua kaum selain mempertahankan hak dan bidang kuasa kerajaan negeri, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga mahu meningkatkan kecekapan institusi kepimpinan wakil rakyat, penghulu, ketua kampung serta imam dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan buat rakyat.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ucapannya berkata, tawaran PN Kedah itu adalah kesinambungan daripada pentadbirannya selama tiga tahun sebelum Ini.

Menurutnya, manifesto tersebut akan menjadi landasan untuk terus menjayakan ‘The Greater Kedah’, selaras dengan Kedah sebagai tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya berbakti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!