Ancaman penembak aktif, Dewan Senat AS laksana sekatan pergerakan
WASHINGTON - Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) menguatkuasakan sekatan pergerakan (lockdown) pada petang Rabu ketika Polis Capitol AS menyiasat laporan 'seorang penembak aktif' di bangunan pejabat itu, lapor Xinhua.
"Pegawai kami sedang mengesan di dalam dan di sekitar bangunan pejabat Senat sebagai tindak balas kepada panggilan 911(kecemasan) berkenaan. Sila jauhi kawasan itu kerana kami masih menyiasat," ciap Polis Capitol AS pada 2:45 petang (1845 GMT).
Polis Capitol AS meminta orang ramai di dalam bangunan Senat untuk berlindung di tempat selamat ketika pegawai polis sedang menggeledah bangunan untuk mencari suspek. Isyarat ancaman tamat dikeluarkan pada 4:04 petang (2004 GMT).
Polis Capitol AS kemudian berkata pihaknya bersedia untuk membuka semula bangunan pejabat Senat.
Ketua Polis Capitol AS Thomas Manger memberitahu pemberita bahawa panggilan kecemasan mengenai penembak aktif mungkin palsu dan tiada pengesahan mengenai ancaman itu.
Dewan Senat kini dalam cuti rehat musim panas dan kebanyakan anggota kongres tidak berada di Washington, DC. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!