Tutup pejabat perkara biasa selepas tidak lagi bertanding - Rosni
SHAH ALAM - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar kesal tindakan individu sengaja mengambil kesempatan berhubung penutupan pejabat beliau yang tular di aplikasi TikTok
Rosni berkata, penutupan pejabat perkara biasa oleh wakil rakyat yang tidak lagi bertanding atau mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya.
"Saya tidak berapa gembira dengan video tular (di TikTok) yang tersebar kerana penurunan papan tanda (perkara biasa) setelah tidak lagi berkhidmat (sebagai ADUN Hulu Bernam)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Menurut Rosni, masyarakat di Hulu Bernam sememangnya biasa berurusan di pejabat beliau tanpa mengira kaum dan fahaman politik.
"Sama ada saya ada atau tidak, penduduk sudah biasa ke sini, mereka tetap datang memohon bantuan atau sumbangan.
"Tetapi apabila tidak lagi jadi ADUN, rakan rapat menasihatkan saya supaya kita menurunkan papan tanda dan menutup operasi pusat khidmat berkenaan," ujar beliau.
Jelas beliau, Pejabat ADUN Hulu Bernam merupakan hak milik sepenuhnya UMNO Bahagian Hulu Selangor sudah beroperasi sejak beliau menjadi ADUN dua penggal lalu.
"Bangunan ini sudah berusia 20 tahun dan sekarang ia telah kosong dan kita serahkan semula kepada UMNO Bahagian Hulu Selangor.
"Bagaimanapun, bangunan ini masih boleh digunakan untuk kegunaan masyarakat di sini untuk menjalankan program di peringkat DUN.
"Saya juga ingin menafikan fitnah kononnya bangunan ini diserahkan kepada Amanah (Parti Amanah Negara), sebaliknya tidak ada kerana ia hak UMNO," ujar beliau.
Bagaimanapun, Rosni menjelaskan, beliau akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti tidak mencalonkan beliau di DUN itu dan menyerahkan kerusi itu kepada Amanah untuk ditandingi.
"Saya boleh terima (tidak dipilih sebagai calon) dan pemimpin Amanah pun ada datang pejabat saya dan menyatakan sokongan untuk mereka bertanding di sini," tambahnya.
Sebelum ini, tular video di TikTok kononnya penutupan pejabat ADUN Hulu Bernam itu dikaitkan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi video itu, Rosni dan beberapa individu kelihatan sebak apabila bangunan itu tidak lagi beroperasi dengan papan tanda di pusat khidmat itu ditanggalkan.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!