[VIDEO] Penduduk trauma hidu bau busuk pencemaran kimia
JOHOR BAHRU - Lebih 1,500 penduduk Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram dekat sini masih trauma dengan bau kuat dipercayai pencemaran bahan kimia sejak dua hari lalu.
Rata-rata penduduk ditemui memberitahu bau meloyakan yang didakwa bahan kimia sudah tiada berbanding ketika kejadian berkenaan dilaporkan berlaku.
Suri rumah, Kamsiah Basarudin, 37, mendakwa penduduk mula menghidu bau seakan sampah yang dibakar pada jam 2.30 petang pada Isnin.
"Mulanya keadaan tidak membimbangkan, tetapi selepas itu, saya mendapat pesanan WhatApp daripada guru meminta ibu bapa mengambil anak-anak dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram berikutan pencemaran udara.
"Saya bergegas ambil anak yang berusia tujuh tahun dari sekolah. Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, saya terlihat jiran yang juga seorang ibu tiba-tiba sesak nafas sebelum muntah-muntah," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Menurut Kamsiah, dia sekeluarga masih menghidu bau busuk yang kuat sehingga ke waktu malam.
"Sekolah terpaksa ditutup semalam. Kami sekeluarga cuma duduk di rumah dengan keadaan tingkap dan pintu yang tertutup. Namun hari ini, bau busuk itu tidak lagi kami hidu dan sekolah sudah kembali dibuka," ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Roslan Ibrahim, 63, berkata, insiden pencemaran bau di Kampung Sungai Tiram merupakan yang pertama berlaku sepanjang 40 tahun dia menetap di situ.
"Belum pernah lagi ada bau yang amat busuk dan tengik serta berlarutan lama dihidu penduduk. Saya sendiri sakit tekak dan rasa mual ketika terhidu bau pencemaran itu sehingga terpaksa memakai pelitup muka namun bau itu masih kuat.
"Penduduk bimbang dan teringat insiden pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang yang menjejaskan ramai pelajar dan penduduk. Kami risau ia akan berulang," jelasnya.
Peniaga, Nor Azita Muda,39, pula memberitahu dia masih bimbang sekiranya insiden pencemaran bau dua hari lalu, berulang memandangkan kawasan kampung terletak berdekatan dengan Sungai Tiram.
"Semalam cuma berada di rumah sahaja kerana bimbang bau busuk yang meloyakan itu. Lagipun ramai penduduk yang khuatir jika keadaan menjadi teruk.
"Sejak awal pagi tadi, hujan. Jadi tiada lagi bau busuk yang dihidu selepas dua hari insiden pencemaran berlaku," katanya.
Pada Rabu, seramai 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram, di Ulu Tiram, di sini, dilaporkan mengalami simptom pening dan muntah berikutan pencemaran sisa kimia, dipercayai dibuang di sungai berhampiran.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd Salleh Mohamed, berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya serta sebuah jentera Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari BBP Larkin dengan kekuatan keseluruhan seramai 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
Selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat penilaian di lokasi iaitu di kawasan sebuah kilang dengan menggunakan gasmet GT5000, terdapat peningkatan bacaan 'methyl mercaptan'.
Pasukan Hazmat dan JAS mendapati berlaku aktiviti pembakaran tangki 'ibc' yang mengandungi bahan buangan dalam bentuk pepejal (sludge) dan cecair serta pelupusan bahan pepejal (sludge) dan sisa cecair ke di laluan tali air ke sungai berhampiran.
ARTIKEL BERKAITAN: 28 muntah, pening di sekolah akibat pencemaran bau kimia
JAS teruskan siasatan punca pencemaran bau di Ulu Tiram
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!