Messi terus membara di AS

Messi. - Foto AFP
Messi. - Foto AFP
A
A
A

PEMAIN bintang, Lionel Messi meneruskan momentum positif di Amerika Syarikat (AS) apabila membantu Inter Miami melakar kemenangan 3-1 ke atas Orlando City pada pusingan 32 terakhir Piala Liga-Liga pada Khamis.

Kapten Argentina itu meledak dua gol dari jarak dekat sekali gus menjadikan tiga kemenangan dalam tiga aksi buat pasukan yang tidak menang dalam 11 aksi liga sebelum ketibaannya.

Messi membuka tirai jaringan pada minit ketujuh menerusi rembatan kencang setelah menerima hantaran daripada Robert Taylor.

Orlando bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Cesar Araujo pada minit ke-17 yang menyambut bola muntah di penjuru kotak penalti sebelum melakukan tendangan leret untuk menewaskan penjaga gol Miami, Drake Callender.

Miami kembali mendahului menerusi sepakan penalti Josef Martinez pada minit ke-51 sebelum Messi mengesahkan kemenangan hasil jaringan jarak dekat selepas menerima hantaran daripada Martinez.

Dalam pada itu, pertahanan kanan Miami, DeAndre Yedlin melihat Orlando seakan takut ketika Miami konsisten bermain dengan penuh keyakinan.

Malah Yedlin turut memuji penampilan Messi mampu membantu rakan sepasukan untuk beraksi dengan lebih baik.

“Dia (Messi) memberikan keyakinan buat setiap orang di sekelilingnya. Anda boleh memberi bola dalam situasi sukar kepadanya dan tahu dia akan melakukan sesuatu dengannya.

“Sebaliknya lawan kami kelihatan takut. Mereka turun untuk bertahan dan ia memberi kami lebih banyak ruang bebas untuk beraksi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!