Calon PN DUN Lunas saman pihak sebar video lama
PADANG SERAI - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas, Khairul Anuar Ramli akan memfailkan saman terhadap pihak yang menyebarkan klip video mendakwa dirinya menyerang seorang warga emas.
Beliau berkata, rakaman yang tular tersebut merupakan kejadian yang berlaku tiga tahun lepas, bukannya kejadian baharu.
Menurutnya, penyebaran semula video lama itu dipercayai cubaan pihak tertentu untuk menjejaskan imejnya menjelang kempen pilihan raya negeri (PRN).
“Apa yang berlaku tidak seperti digambarkan, saya berusia 42 tahun dan lelaki itu hanya empat tahun lebih tua daripada saya,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Jelasnya, kejadian itu berpunca daripada pertelingkahan oleh individu terbabit yang datang ke pejabatnya di Taman Ihsan, Lunas sehingga berlaku kekecohan, seterusnya kes berkenaan dibicarakan di mahkamah.
Khairul Anuar yang juga Ketua Penerangan Bersatu Kedah berkata, kes tersebut telah pun selesai pada Mac lalu selepas melalui perbicaraan selama 18 bulan.
“Video berdurasi penuh lebih lapan minit itu turut disunting sehingga menjadi 19 saat, bagi menggambarkan serangan dilakukan terhadap seorang lelaki warga emas.
“Saya sudah bincang dengan pasukan peguam dan akan memulakan prosiding saman terhadap beberapa pihak dalam masa terdekat. Setiap pihak akan disaman sebanyak RM10 juta setiap seorang,” katanya.
Menurutnya lagi, saman tersebut diteruskan tanpa tuntutan permohonan maaf kerana tidak mahu berkompromi dalam usaha membersihkan imej dan reputasi dirinya.
“Jangan gunakan cara sebegini dalam kempen. Berkempenlah secara matang kerana kita sekarang sudah memasuki alaf politik baharu di mana tidak boleh hanya disogokkan dengan video tular,” ujarnya.
Sebelum itu, tular sebuah video yang mengaitkan calon PN itu dengan kejadian menolak seorang lelaki yang didakwa warga emas di pelbagai platform media sosial.
Dalam PRN ini, DUN Lunas menyaksikan pertandingan lima penjuru melibatkan Khairul Anuar, Shamsul Anuar Abdullah (Pakatan Harapan) selain tiga calon Bebas, N Rajendaran, S Pannir Selvam dan S Arichindarem.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!