PRN: Replika helikopter bernilai RM18,000 jadi perhatian
BALING - Lebih RM18,000 hasil wang simpanan sendiri dan sumbangan penduduk diperuntukkan oleh sekumpulan anak muda untuk menyiapkan sebuah replika helikopter nuri di Kampung Charok Salang, dekat sini.
Muhammad Baihaki Ishak, 30, yang merupakan penggerak badan bukan kerajaan dikenali Gerak Amal Bersama berkata, semangat untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang mendorongnya bersama enam lagi rakan menyiapkan replika helikopter dalam tempoh tujuh bulan.
Menurutnya, mereka tidak menyangka replika tersebut yang berketinggian 10 meter dan lebar dua meter tersebut tular menarik perhatian masyarakat bukan sahaja dari negeri ini tetapi juga negeri sekitar seperti Perlis, Pulau Pinang, Perak selain Kelantan dan Terengganu.
"Idea untuk mencipta replika helikopter ini datang daripada abang sulung, Muhammad Zuhud Ulia yang bekerja sebagai tukang rumah.
"Kos keluar duit pada awalnya sebanyak RM18,000 tapi jika bagi kos pembuatan termasuk membeli casis lori dan bahagian dalam replika, kos keseluruhan mungkin telah lebih RM20,000," katanya semasa ditemui di Kampung Charok Salang dekat sini baru-baru ini.
Ahmad Lutfi Ishak, 21, pula memberitahu, ketujuh-tujuh mereka mempunyai tugasan masing-masing bagi menyiapkan pemasangan bahagian luar dan badan serta enjin replika helikopter.
Jelasnya, replika yang dilengkapi penyaman udara tersebut juga dipasang lampu dan permandangannya lebih cantik pada waktu malam kerana bercahaya.
Replika itu yang turut dipasang sebuah televisyen, tempat duduk juruterbang dan generator mampu memuatkan pengunjung dalam 'pesawat' sehingga 10 orang dalam satu masa.
"Bahagian paling susah pula untuk siapkan replika ini adalah memasang wayar elektrik di dalamnya," ujarnya yang mengakui teruja dengan kehadiran ramai pengunjung sejak beberapa hari lalu.
Seorang pengunjung, Salleh Yusof, 63 dari Sungai Petani berkata, beliau mengetahui tentang replika tersebut daripada rakan-rakannya sebelum mengambil keputusan untuk melihatnya sendiri.
"Pereka-pereka dia kreatif dan mempunyai idea. Saya rasa ini satu perkara yang baik dapat menarik, daripada orang tak kenal kampung ini jadi kenal, jadi kebanggaanlah pada kampung ni," ujar pesara kerajaan itu.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!