'Mereka marah kerajaan... dulu boleh dapat ekstra'
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) merosot kerana ketegasan kerajaan dalam memerangi perbuatan rasuah.
Dr Mahathir berkata, terdapat kumpulan tertentu tidak lagi mendapat gaji ‘ekstra' daripada pihak tertentu yang mengamalkan korupsi.
"...di sini kita dapati orang ini sekarang ini tak dapat duit kerana gerakan antirasuah ini. Mereka marah kepada kerajaan... dulu boleh dapat, la (sekarang) ni tak boleh dapat.
"Jadi kita dapati sokongan merosot dalam kalangan kumpulan tertentu yang terkenal kerana mereka memang bukan hanya dapat gaji tetapi dapat gaji 'ekstra' daripada punca lain. Itulah sebahagian daripada sebabnya kita lihat undi kepada PH merosot," katanya dalam satu temu bual khas sempena setahun pemerintahan PH di sini.
Dr Mahathir berkata golongan tertentu itu berasa kecewa apabila tidak lagi mendapat pendapatan tambahan setiap bulan hasil penyelewengan mereka.
Ini kerana jika mereka meneruskan perbuatan itu, mereka akan dikenakan tindakan, oleh itu mereka tidak menyokong kerajaan hari ini, katanya.
Perdana Menteri berkata, perbuatan memberi wang kepada golongan tertentu oleh kerajaan terdahulu juga menyebabkan golongan berkenaan kecewa dengan kerajaan PH.
"Memang kerajaan dahulu mereka beri duit yang banyak kepada macam-macam golongan, nelayan dapat gaji, kalau tak dapat ikan pun dapat gaji RM300 sebulan, bachelors (bujang) dapat RM450, BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) lagi, macam-macam orang dapat duit.
"Kalau kita nak amal benda yang semacam ini samalah kita juga korup macam itulah. Nak beli sokongan dengan memberi wang itu rasuah. Kita tak boleh buat macam itu dan kita tak ada duit pun nak buat pasal kita tak curi duit," katanya.
Justeru, Dr Mahathir berkata, kerajaan PH akan meneruskan usaha untuk mengubah mentaliti masyarakat supaya menolak amalan rasuah walaupun menyedari ia sesuatu yang sukar.
Beliau yakin pada masa depan masyarakat akan faham dan menghargai usaha murni kerajaan itu.
"Memang sukar tetapi kita hendak jadi rakyat berasa normal bagi mereka jika mereka tidak dibantu oleh orang yang berduit ini.
"Lambat-laun mereka mesti tahu bahawa mereka akan mendapat gaji mereka, dan kami akan cuba menambah baik gaji mereka, tetapi selepas beberapa lama nanti rakyat akan mula menghargainya, orang ramai sudah tentu patut menghargainya kerana mereka tidak lagi perlu membayar duit ekstra kepada pegawai-pegawai yang korup," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!