PRN: Calon BN Jeram Padang tetap kempen walau berkerusi roda
JEMPOL- Meskipun terpaksa berkerusi roda selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya Isnin lalu, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang untuk menyantuni rakyat.
Malah Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, beliau akan menggunakan tempoh berbaki yang ada untuk terus mendekati pengundi walau dengan apa cara sekali pun.
"Alhamdulillah, saya sudah mula berkempen semalam (Selasa) dengan melakukan tinjauan mesra dari rumah ke rumah dan hadiri ceramah.
"Saya akui keadaan agak sukar tetapi ia tidak melunturkan semangat saya memikul amanah parti bagi memastikan kerusi DUN Jeram Padang dapat dipertahankan BN," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau juga menafikan sengaja meraih simpati ramai apabila keluar berkempen dalam keadaan yang masih belum pulih sepenuhnya.
Jelasnya, hanya kakinya saja yang belum pulih tetapi semangatnya tidak pernah padam.
"Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, apa terjadi kepada saya adalah ketentuan ALLAH. Saya reda semua itu.
"Saya bersyukur kerana masih ada peluang untuk turun berkempen berbanding daripada hanya duduk terlantar di rumah saja. Jadi, jangan risau dengan keadaan saya," katanya.
Sementara itu Mohd Zaidy memberitahu, pemandunya yang dilaporkan kritikal sebelum ini masih dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan dilaporkan stabil, namun masih ditidurkan.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!