Pemancing maut dipijak gajah
GUA MUSANG - Seorang pemancing maut dipijak seekor gajah liar dalam kejadian di kawasan ladang sawit, Tanah Tinggi Lojing di sini pada Rabu.
Mangsa, pengawal keselamatan, Mohd Marzuki Mohd Nawi, 42, dilaporkan meninggal dunia pada jam 4.45 petang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, sebelum itu, kira-kira jam 4 petang, mangsa bersama seorang rakan menunggang motosikal menuju ke sungai untuk memancing dan terserempak dengan dua ekor gajah.
“Mereka cuba melarikan diri, namun terjatuh dari motosikal kerana terkejut. Rakan mangsa yang berada di belakang berjaya melarikan diri.
“Selepas gajah meninggalkan tempat kejadian, rakan mangsa pergi semula ke lokasi dan mendapati mangsa berada di dalam semak sambil mengadu kesakitan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Choon Foo, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Brooke untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia.
“Pegawai perubatan dari klinik berkenaan mengesahkan mangsa meninggal dunia dan pemeriksaan pada badannya mendapati ada lebam dan luka di pinggang sebelah kiri yang dipercayai akibat dipijak oleh gajah.
“Mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan hasilnya konsisten dengan keterangan daripada rakan mangsa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!