Dua lelaki dijel, sebat mengaku salah rompak hotel

Mohammad Arif (kiri) dan Kajenthiran (dua dari kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kluang pada Khamis.
Mohammad Arif (kiri) dan Kajenthiran (dua dari kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kluang pada Khamis.
A
A
A

KLUANG - Dua lelaki mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kluang pada Khamis, atas pertuduhan merompak sebuah hotel di daerah ini pada Julai lalu.

Tertuduh, Kajenthiran Supramaniam, 37, dan Muhammad Arif Mohammed Kasim, 26, membuat pengakuan di hadapan Hakim, Mujib Saroji.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan sebilah parang dan spanar ke atas seorang lelaki serta mengambil sebuah telefon bimbit jenama Oppo berwarna hitam dan wang tunai kira-kira RM200.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kaunter sebuah hotel pada kira-kira jam7.40 pagi pada 25 Julai.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Muhammad Arif turut mengaku salah atas satu lagi pertuduhan iaitu merompak sebuah hotel di bandar Kluang bersama seorang lagi yang masih bebas.

Kesalahan didakwa dilakukan di Hotel Ria, Jalan Sultanah kira-kira jam 12.55 tengah malam pada 5 Julai 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ramizah Razli, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, Nur Ramizah memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal berikutan kesalahan merompak menggunakan senjata.

Bagaimanapun, Muhammad Arif yang bekerja sebagai pemandu lori, merayu hukuman diringankan dengan alasan mempunyai dua anak berusia 4 tahun dan 6 bulan selain isteri sedang mengandung sebulan.

Kajenthiran yang tidak bekerja juga meminta hukumannya diringankan memandangkan isterinya sedang mengandung tiga bulan selain perlu menjaga ibu mertua yang sudah uzur.

Mahkamah kemudiannya menetapkan Muhammad Arif dikenakan hukuman penjara lima tahun dari tarikh ditangkap serta dua sebatan bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua hukuman penjara lima tahun dari tarikh ditangkap serta satu sebatan. Kedua-dua hukuman dijalankan serentak.

Kajenthiran yang turut mempunyai rekod kesalahan lampau dibawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan dikenakan hukuman penjara lapan tahun serta tiga sebatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!