Pasukan petugas khas semak undang-undang ditubuhkan - Azalina

Azalina Othman .- Foto Bernama.
Azalina Othman .- Foto Bernama.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Satu pasukan petugas khas dicadang untuk ditubuhkan bulan hadapan bagi menyemak hal-hal perundangan terutamanya dalam ruang lingkup pelaburan dan perniagaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ini kerana beliau berkata, pemerkasaaan undang-undang negara penting dalam memastikan agenda Kerajaan Perpaduan membangun negara di bawah kerangka Ekonomi Madani kerana selain tatakelola pentadbiran yang baik, aspek perundangan juga berkait rapat dengan pembangunan ekonomi negara.

"Kita akan kaji undang-undang baik melibatkan perniagaan besar mahupun dalam talian, kontrak jual beli, perdagangan termasuklah scammer perniagaan...selain itu ambil contoh dalam dasar perindustrian 4.0, undang-undang kebanyakan negara di ASEAN seperti Indonesia dan Thailand dah berubah, jadi kita akan lihat.

"Pasukan petugas khas ini juga akan teliti isu-isu terkait AI (kecerdasan buatan), yang mana melibatkan penipuan teknologi dan mengkaji adakah kita ada persediaan dalam menguruskan perniagaan di dalam bidang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Selamat Pagi Malaysia siaran RTM pada Khamis yang membicarakan tajuk Tatakelola Baik Asas Ekonomi Madani.

Ekonomi Madani, merupakan rangka kerja ekonomi terbaharu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lepas, bertujuan untuk meningkatkan ekonomi Malaysia seterusnya menyediakan limpahan hasil kepada rakyat, untuk membolehkan mereka menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Azalina berkata, pasukan petugas khas itu, akan bekerjasama dengan universiti tempatan selain agensi yang berkaitan untuk melakukan semakan dan kajian.

Sekiranya semuanya berjalan baik, beliau optimis cadangan perubahan dan penambahbaikan undang-undang daripada pasukan petugas khas itu, boleh dibentangkan pada sesi Parlimen tahun hadapan.

Azalina berkata, sekiranya undang-undang negara berupaya memberi perlindungan sewajarnya, tidak berat sebelah dengan memihak kepada mana-mana majikan atau golongan pekerja, malah tidak melebihkan orang kaya dan meminggirkan orang miskin serta tidak menindas kaum wanita dan kanak-kanak, pelabur akan rasa selamat dan yakin.

"Ditambah dengan keamanan negara kita, keselamatan yang berupaya kita tawarkan selain pemimpin yang kini dilihat boleh melindungi mereka dengan tatakelola yang baik, tanpa isu-isu seperti 'bayaran belakang', pelabur akan sampai ke Malaysia,” katanya.- Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!