Ahmad Zahid tidak arah bayar kad kreditnya guna dana yayasan - Saksi

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi pembelaan ketujuh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memberi arahan untuk menggunakan cek Yayasan Akalbudi bagi membayar kad kredit milik Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Datuk Rosiah Osman berkata demikian ketika prosiding bela diri kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid.

Ketika menjawab soalan peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid, saksi berusia 71 tahun ini berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk ini juga tidak pernah memberi kebenaran untuk menggunakan dana yayasan bagi melunaskan bayaran insuran dan cukai jalan kenderaan miliknya.

Sepanjang memegang jawatan setiausaha eksekutif bermula 1994 hingga 2011, Rosiah berkata, wang yayasan hanya digunakan untuk membuat sumbangan kebajikan antaranya kepada masjid.

Ahmad Zaidi: Selama bertugas sebagai setiausaha eksekutif, Datuk (Rosiah) bayar kad kredit Datuk Seri (Ahmad Zahid) dan isterinya menggunakan akaun mana?

Rosiah: Akaun Maybank milik Datuk Seri.

Ahmad Zaidi: Bagaimana pula dengan bayaran untuk kenderaan, bil-bil belanja peribadinya?

Rosiah: Akaun yang sama milik Datuk Seri.

Sementara itu, dalam prosiding pada Isnin lepas, saksi ini memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid menggunakan kad kredit peribadinya untuk membeli barang kelengkapan sumbangan masjid.

Semasa sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, Rosiah berkata, dia tidak dapat mengingati sekerap mana kad itu digunakan untuk membeli barangan sumbangan kebajikan.

Saksi ini juga berkata, tidak timbul kekeliruan ketika mahu melunaskan bayaran setelah menerima penyata bank kelak.

Mohd Dusuki: Kenapa perlu guna kad kredit untuk beli barang sumbangan masjid, kenapa tidak bayar sahaja menggunakan cek?

Rosiah: Tak kan nak beli guna cek, jadi kita guna kad kredit dulu.

Mohd Dusuki: Barang apa yang dibeli menggunakan kad itu?

Rosiah: Contohnya permaidani, kita guna kad kredit, selepas itu barulah keluarkan cek yayasan untuk bayar balik wang Datuk Seri.

Mohd Dusuki: Adakah ia berlaku dalam semua pembelian?

Rosiah: Hanya dalam keadaan tertentu sahaja sebab tidak semua barang sumbangan boleh dibeli melalui kad kredit.

Ahmad Zahid, 70, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung Isnin depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!