Speaker Dewan Rakyat ketuai delegasi Malaysia ke AIPA di Indonesia

Johari
Johari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul akan mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Ke-44 di Jakarta, Indonesia bermula esok hingga 11 Ogos 2023.

Parlimen Malaysia dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan dalam perhimpunan itu, Johari akan menyampaikan kenyataan Malaysia yang memfokuskan kepada tema "Responsive Parliaments for a Stable and Prosperous ASEAN”, iaitu tentang kepentingan sistem Parlimen yang baik dalam mendepani cabaran agar membangun menjadi rantau yang aman, stabil dan demokratik.

"Malaysia juga bakal menaja dua resolusi berkenaan ancaman keganasan, ekstremisme dan radikalisasi serta peranan Parlimen dalam menangani hubungan keselamatan air, tenaga dan makanan (WEF) di ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Dalam lawatan rasmi itu, Johari akan diiringi kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor dan Alice Lau Kiong Yeng serta 11 Ahli Parlimen termasuk Wong Chen yang merupakan Ahli Parlimen Subang; Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Datuk Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar).

Turut serta ialah Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi; Datuk Willie Anak Mongin (Puncak Borneo); Isnairaissah Munirah Majilis (Kota Belud); Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching); Yusuf Abd Wahab (Tanjong Manis) Yuneswaran Ramaraj (Segamat); Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas); dan Riduan Rubin (Tenom).

Sementara itu, Parlimen Malaysia memaklumkan kemuncak lawatan rasmi berkenaan ialah pertemuan Johari dengan rakan sejawatannya iaitu Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia Maharani Nakshatra Kusyala Devi yang akan diadakan pada 7 Ogos.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak akan membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama yang mencakupi hubungan dua hala dan kerjasama antara Parlimen ASEAN.

AIPA yang mula ditubuhkan pada 1977 sebagai Pertubuhan Antara Parlimen (AIPO) bertujuan menggalakkan persefahaman, kerjasama dan hubungan rapat antara Ahli Parlimen serta sebagai permerhati Ahli Parlimen dan pertubuhan Parlimen yang lain.

Perhimpunan itu juga merupakan gabungan utama Parlimen negara-negara Asia Tenggara dalam membangun hala tuju ASEAN. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!