Thailand tangguh lantik PM lagi
BANGKOK - Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Khamis menangguhkan keputusan kes yang mencabar keengganan Parlimen bagi membenarkan Pita Limjaroenrat untuk mendapat peluang kedua sebagai calon perdana menteri.
Langkah itu bagaimanapun memanjangkan lagi kebuntuan politik di negara itu yang telah berlarutan selama hampir tiga bulan selepas kemenangan Parti Move Forward (MFP) pimpinan Pita, 42, ketika Pilihan Raya Umum pada Mei lalu.
Mahkamah itu menyatakan mereka memerlukan lebih banyak masa dan bukti untuk menerima kes tersebut serta akan mempertimbangkannya pada 16 Ogos ini.
"Ia memerlukan pertimbangan yang teliti kerana ia termasuk prinsip pentadbiran dalam sistem raja berperlembagaan. Kita perlu mengkaji lebih banyak maklumat," jelas kenyataan itu lagi.
Susulan itu, Speaker Parlimen, Wan Muhamad Noor Matha berkata, undian pusingan ketiga untuk melantik pengganti Prayut Chan-o-cha yang dijadualkan pada Jumaat akan ditunda lagi.
"Kita perlu menunggu keputusan Mahkamah Perlembagaan pada 16 Ogos," ujarnya.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas MFP disingkirkan daripada gabungan parti prodemokrasi yang kini dipimpin Parti Pheu Thai untuk menubuhkan kerajaan.
Menurut Pheu Thai, taikun hartanah, Srettha Thavisin, 60, akan dicalonkan sebagai perdana menteri dan mereka bakal mengumumkan gabungan parti terbaharu untuk membentuk majoriti setelah 'kehilangan' 151 kerusi milik MFP.
Difahamkan, MFP juga bersetuju untuk menjadi puak pembangkang kerana mereka percaya masih berupaya melakukan perubahan walaupun tidak memegang kuasa. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!