PH-BN libat semua rakyat majukan Selangor - Abbas

Abbas dalam program Berani Semuka bertajuk Kita Selangor vs Selangor Baharu bersama calon PN DUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin. - FOTO SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR
Abbas dalam program Berani Semuka bertajuk Kita Selangor vs Selangor Baharu bersama calon PN DUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin. - FOTO SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Manifesto ‘Kita Selangor’ yang dibawa Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) bersifat realistik dengan mengambil kira semua kepentingan rakyat dan bukannya bergantung kepada ikon semata-mata.

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang, Abbas Azmi berkata, dalam lima tekad yang ditawarkan untuk tempoh lima tahun itu, ia merangkumi semua demografi rakyat negeri itu yang berbilang kaum dan agama.

“Kita tak bawa ikon MB (Menteri Besar) dan Exco sahaja tapi bawa rakyat bersama dalam memajukan Selangor. Negeri ini bukan milik sesiapa, pemimpin hanya menjaga amanah dan tanggungjawab yang diberikan rakyat untuk mentadbir.

“Segala idea dan gerak kerja kita libatkan antara pemimpin serta rakyat. Jelas dilihat daripada manifesto PH-BN, lima tekad untuk lima tahun meliputi kesemua lapisan masyarakat.

“Kita tidak tertumpu hanya pada satu kaum, kena faham demografi rakyat negeri ini. Kalau tertumpu pada satu kaum sahaja, ada yang akan tertindas dan dinafikan hak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Berani Semuka bertajuk Kita Selangor vs Selangor Baharu bersama calon Perikatan Nasional (PN) DUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin.

Jelas Abbas, jika dilihat kepada lima tekad yang dibuat, ia meliputi semua segmen, dengan tekad pertama memastikan ekonomi unggul dan pendidikan berkualiti pemangkin peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Tekad kedua kita pula menjadikan agama sebagai cahaya dan inspirasi kehidupan bermaruah di Selangor manakala tekad ketiga, perkhidmatan kerajaan yang cekap serta efisien.

“Tekad keempat Kita Selangor pula adalah pembangunan mampan, selesa dan berdaya huni manakala tekad kelima menjadikan Selangor negeri penyayang yang membela kepentingan rakyat,” jelasnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!