Pas dakwa gelombang tinggalkan UMNO makin membesar

Alias ketika sidang akhbar di Pusat Media Pas Terengganu pada Khamis.
Alias ketika sidang akhbar di Pusat Media Pas Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu mendakwa gelombang penyokong UMNO meninggalkan parti itu menjelang pilihan raya negeri (PRN) semakin membesar.

Timbalan Pesuruhjayanya, Datuk Dr Alias Razak berkata, perkembangan itu berdasarkan program ceramah yang diadakan di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini menyaksikan ahli dan bekas pemimpin parti tersebut menyerahkan borang keahlian untuk sertai Pas.

"Ini menunjukkan bahawa gelombang meninggalkan UMNO semakin membesar. Saya juga percaya bahawa ahli-ahli UMNO yang masih setia dengan parti itu pun akan keluar beramai-ramai mengundi Pas dan Perikatan Nasional (PN).

"Ia untuk sebagai menolak calon-calon Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) pada 12 Ogos nanti bagi mencetuskan perubahan besar-besaran dalam UMNO pasca pilihan raya nanti, sekali gus mengembalikan UMNO ke landasan asal perjuangannya," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Media Pas Terengganu di sini, pada Khamis.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Alias yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus turut memberitahu kempen Pas di media sosial ketika ini banyak dilakukan sendiri oleh golongan muda.

Keadaan itu katanya, secara tidak langsung menjadi petanda bahawa Pas semakin dekat di hati rakyat.

"Suka saya kongsikan trend menarik di media sosial. Walaupun banyak bahan kempen yang berpengaruh telah dihasilkan oleh jentera penerangan, namun kandungan kempen yang dihasilkan oleh pihak bukan parti atau borang awam lebih mendominasi," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!