Gadis derita ketumbuhan pada bahu kanan

Aida menunjukkan ketumbuhan pada bahu kanan anak perempuannya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah, di sini.
Aida menunjukkan ketumbuhan pada bahu kanan anak perempuannya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah, di sini.
A
A
A

KUALA KEDAH - Seorang gadis terpaksa menanggung derita akibat ketumbuhan dianggarkan seberat lima kilogram (kg) di bahu kanannya.

Lebih memilukan, ketumbuhan pada bahu kanan Nur Aifa Shamimi Azman, 20, kini dikhuatiri makin membesar.

Ibunya, Aida Harita Md Rodzi, 38, berkata, dia sedih mengenangkan penderitaan ditanggung anak sulungnya itu yang terpaksa menahan kesakitan berikutan sel kanser membengkak dan kini mula menyerang bahagian badannya lain.

"Sebelum ini, saya lihat ketumbuhan itu lebih kecil, namun sekarang ia makin membesar dan tersembur keluar di bahagian depan dan belakang bahunya.

"Kini, berat badan Nur Aifa juga susut hingga tinggal 30 kilogram (kg)," katanya ketika ditemui ketika calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Salleh Saidin melawat Nur Aifa di kediaman mereka di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah, di sini.

Menurut Aida, mereka memerlukan wang lebih RM1,000 setiap bulan untuk menampung kos pengangkutan dan barangan keperluan seperti susu formula khas serta alatan cuci luka Nur Aifa.

Calon Perikatan Nasional (PN) Kubang Rotan, Datuk Salleh Saidin (kanan) melawat Nur Aifa di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah, di sini.
Calon Perikatan Nasional (PN) Kubang Rotan, Datuk Salleh Saidin (kanan) melawat Nur Aifa di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah, di sini.

"Sebenarnya, kami hanya mampu membeli susu biasa, namun nampaknya ia tidak sesuai untuk Nur Aifa, lalu kami memutuskan untuk mendapatkan susu formula khas untuknya meskipun kurang berkemampuan," katanya.

Aida memberitahu, mereka juga perlu berulang alik membawa Nur Aifa menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Hospital Pulau Pinang (HPP).

Disebabkan itu, menurut suri rumah itu, dia dan bapa tiri kepada Nur Aifa,Azizan Yob, 44, kini buntu memikirkan keadaan kesihatan dan kos rawatan anak perempuannya itu.

"Ditambah pula, suami telah ditamatkan kerja sebagai pengawal keselamatan dan kini hanya melakukan kerja kampung di rumah sahaja," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi talian 014-6132738 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Nur Aifa Shamimi Azman iaitu 1013041000147397.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!