'Selangor Baharu' bawa isu yang menekan rakyat - Afif
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Manifesto 'Selangor Baharu' ditawarkan Perikatan Nasional (PN) lebih realistik kerana ia membawa pelbagai isu yang menekan rakyat ketika ini terutama berhubung kos sara hidup yang tinggi.
Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata, kos sara hidup rakyat di Selangor waktu ini adalah tertinggi di negara ini.
"Sebab itu manifesto PN yang akan dibentangkan esok akan memberi fokus kepada usaha-usaha untuk memulihkan semula ekonomi dengan memberi pakej rangsangan ekonomi yang lebih menjurus dalam bentuk bantuan tunai secara terus kepada rakyat agar mereka rasa kurang terbeban.
"Saya tak boleh umum sekarang (perincian manifesto). Kita akan umumkan esok dan akan beritahu kepada rakyat negeri Selangor apa yang ingin kita lakukan,'' kata Afif pada program Berani Semuka bertajuk Kita Selangor vs Selangor Baharu yang menggandingkan beliau bersama calon PH DUN Seri Serdang, Abbas Azmi.
Program yang dikendalikan personaliti televisyen, Amin Idris selaku moderator itu bersiaran secara langsung dari Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Afif menjelaskan, isu-isu utama yang akan turut diperjuangkan PN adalah berkaitan peluang perniagaan, pendapatan yang terhenti akibat Covid dan isu berkaitan wanita, orang muda dan penunggang e-hailing.
"Kita bukan nak buat program macam baru-baru ini di Petaling Jaya yang panggil semua penunggang e-hailing dan beri duit tunai, atau sebut dalam ucapan baru-baru ini dalam perjumpaan bersama belia bahawa kalau undi kami, baharu kami bagi duit.
''Kami bukan begitu, PN akan beri bantuan dan khidmat keprihatinan kita kepada semua (rakyat) tidak kira waktu, tak kira masa kerana inilah prinsip perjuangan kami kerana kami tidak memperjuangkan individu," ujarnya.
Tegas Afif, PN bertanding untuk menjadi suara dan jurubicara kepada rakyat di bawah yang sekarang ini tertekan dengan kos sara hidup dan beban yang terpaksa dihadapi dari sehari ke sehari.
''Sebab itu tawaran yang kita bawa 'Selangor Baharu' ini lebih fokus kepada pendidikan, kebajikan dan mengembalikan semula program-program yang kita laksanakan sebelum ini.
''Sebagai contoh dalam program bekalan air percuma, kalau sebelum ini sebanyak 1.5 juta pengguna akaun Air Selangor mendapat manfaat daripada program seperti ini (tapi) di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, tak sampai 600,000 pengguna sahaja yang mendapat manfaat, tidak menyeluruh.
''Sebab itu kita nak mengembalikan semula kegemilangan negeri Selangor ini. Bukan hanya gemilang sebagai negeri hebat dan maju tetapi juga yang menjaga kebajikan dan ada keprihatinan untuk membela maruah serta nasib rakyat Selangor," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!