Kerajaan Perpaduan mampu laksana manifesto kerana amanah - Abbas
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI]Kerajaan Perpaduan mampu melaksanakan manifesto yang dibuat kerana rekod yang baik, selain bersikap amanah dalam menjaga dan mengurus hasil pendapatan negeri.
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang, Abbas Azmi berkata, sebarang projek yang dirancang juga boleh dilaksanakan dengan adanya kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan.
“Kita tak beli kereta mewah untuk Exco dan berbelanja besar ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), bahkan Exco juga bekerja lebih teruk daripada ahli (wakil rakyat) biasa.
“Soal nak beli kereta apa pun, terpulang kepada kerajaan negeri tetapi negeri semaju Selangor yang mempunyai pendapatan besar tidak bermewah dengan kenderaan rasmi.
“Pemimpin PH sangat menjaga amanah yang diberikan rakyat kepada mereka. Kita boleh bercerita tentang beratus juta pendapatan negeri, berbangga dengan kutipan cukai yang dapat setiap tahun tapi apa yang lebih membanggakan adalah jika duit ini dijaga dengan baik demi kebaikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Berani Semuka bertajuk Kita Selangor vs Selangor Baharu bersama calon Perikatan Nasional (PN) DUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin.
Program yang dikendalikan personaliti televisyen, Amin Idris selaku moderator itu bersiaran secara langsung dari Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis.
Jelas Abbas, jika tiada sifat amanah dan tanggungjawab, ratusan juta sekalipun pendapatan pasti hilang dan lenyap hingga akhirnya rakyatlah yang akan menanggung derita tersebut.
“Apa yang saya nak bawa adalah kebertanggungjawaban kita sebagai pemimpin, amanah dan tadbir urus yang baik itu perlu ada dalam sanubari mereka yang ingin memimpin Selangor,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!