Ekonomi Madani: KPKT fokus bantu golongan tiada pendapatan tetap miliki rumah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
PUTRAJAYA - Pemilikan rumah mampu milik bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti pekerja ekonomi gig, pemilik perniagaan, peniaga atau usahawan kecil antara fokus Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menjayakan Ekonomi Madani.

KPKT dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, fokus pemilikan rumah mampu milik itu adalah melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) melibatkan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus termasuk bayaran deposit dan insurans.

"Kerajaan telah menyediakan jaminan sehingga RM5 bilion bagi memanfaatkan 20,000 peminjam perumahan khususnya pembeli rumah pertama," kata KPKT dalam satu kenyataan pada Khamis mengenai agenda KPKT menjayakan Ekonomi Madani.

Pada 27 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan agenda kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia untuk membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.

Menurut KPKT, agenda lain kementerian untuk menjayakan Ekonomi Madani termasuklah memperkasa peniaga kecil melalui MyKiosk, melancarkan urusan perniagaan melalui Prosedur Pusat Setempat (OSC) 3.0 Plus dan menyediakan garis panduan Stesen Pengecasan Kenderaan Elektrik (EV).

Inisiatif MyKiosk diperkenalkan untuk meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat dengan memberi ruang niaga yang seragam, selamat, mesra alam dan selesa kepada peniaga pada kadar sewaan kiosk yang rendah.

Sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan KPKT bagi membina baharu dan menaik taraf 3,000 gerai dan kiosk yang dilengkapi panel solar sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara, katanya.

"Inisiatif MyKiosk memberi keutamaan kepada golongan B40 dan penempatan semula peniaga, pengecualian sewaan selama enam bulan pertama dan kadar sewaan tidak melebihi RM300 sebulan," kata KPKT.

Bagi menambah baik proses dan prosedur Pelan Pemajuan Kebenaran Merancang, KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) telah menubuhkan Jawatankuasa Transformasi PBT - "Ease of Doing Business”.

"Antara perkara yang diberi keutamaan dalam penambahbaikan adalah kajian untuk mengurangkan serta memendekkan tempoh proses permohonan Kebenaran Merancang yang ditetapkan di dalam Sistem OSC 3.0 Plus," katanya.

KPKT melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) kini dalam peringkat memuktamadkan Garis Panduan Perancangan Stesen Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCS) serta Prosedur Kelulusan Pembangunan EVCS dalam usaha menyokong hasrat Kerajaan mempercepatkan pencapaian 10,000 stesen pengecas EV menjelang 2025.

Ini termasuk aspek keselamatan kebakaran di dalam Garis Panduan Keselamatan Kebakaran bagi pemasangan EVCS di premis yang disediakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!