Imigresen tumpas sindiket pengeluaran PLKS didalangi warga Myanmar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Imigresen menumpaskan sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang didalangi seorang pemuda warga Myanmar berusia 21 tahun dalam dua serbuan berasingan di sekitar ibu negara semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata pemuda itu ditahan bersama seorang rakan senegara yang dipercayai menjadi pelanggannya.

Beliau berkata sindiket tersebut beroperasi mengeluarkan PLKS secara tidak teratur dengan menggunakan kelulusan kuota pekerja asing palsu dan mengeluarkan surat Visa dengan Rujukan (VDR) tidak teratur.

”Hasil risikan mendapati sindiket dikesan mula bergiat aktif sejak Februari lalu dengan mengenakan bayaran RM6,500 bagi permohonan baharu sektor perkhidmatan dan pembinaan termasuk yuran Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA),” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Selain itu, katanya, bayaran lain ialah RM5, 500 bagi permohonan baharu lain-lain sektor termasuk yuran FOMEMA manakala RM2,350 + RM600 (FOMEMA) bagi permohonan lanjutan.

Beliau berkata hasil serbuan itu, pihaknya menemui dua set komputer, satu set computer riba, 48 cop pelbagai syarikat, 213 naskah pasport pelbagai warganegara dan wang tunai berjumlah RM8,000.

Turut disita sebuah kenderaan milik anggota sindiket, katanya

“Suspek pertama ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966, manakala suspek kedua ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(A)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!