PN yakin mampu realisasikan manifesto
SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) mampu merealisasikan tawaran 'Selangor Baharu' berdasarkan pengalaman yang dimiliki calon mereka yang telah terbukti berjaya membangunkan Selangor dan menjaga kebajikan rakyat negeri itu sebelum ini.
Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata, calon yang bertanding dalam PRN kali ini terdiri daripada tokoh-tokoh yang terbukti sebelum ini berjaya membawa Selangor ke tahap lebih baik, cemerlang dan gemilang.
Tegasnya, PN memasuki pilihan raya negeri (PRN) bukan dengan tangan kosong tetapi mereka tampil bersaing berbekalkan pengalaman yang dimiliki.
"PN dibarisi tokoh seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang pernah jadi Menteri Besar Selangor dan Datuk Dr Yunus Hairi yang pernah menjadi Exco serta beberapa tokoh lain yang terdiri daripada golongan profesional yang terbukti mampu mentadbir negeri Selangor.
"Azmin sebagai menteri besar sebelum ini telah menggunakan khazanah dan rizab negeri untuk memulakan pelbagai inisiatif yang hebat-hebat termasuk program Kasih Ibu, Smart Selangor, Skim Peduli Sihat dan Skim Mesra Usia Emas yang berjaya menjaga kebajikan kepada majoriti rakyat Selangor sehingga mereka ketika itu merasakan kebajikan mereka sangat terbela," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Berani Semuka bertajuk Kita Selangor vs Selangor Baharu yang menggandingkan beliau bersama calon Pakatan Harapan (PH) DUN Seri Serdang, Abbas Azmi.
Program yang dikendalikan personaliti televisyen, Amin Idris selaku moderator itu bersiaran secara langsung dari Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, Afif mendakwa, pentadbiran Menteri Besar Selangor sekarang, Datuk Seri Amirudin Shari gagal menggunakan rizab, kelebihan dan kemampuan yang dimiliki negeri untuk memperhebatkan lagi pencapaian negeri berbanding menteri besar terdahulu.
"Sebab itu (manifesto) Selangor Baharu datang bukan untuk buat negeri tetapi 'Selangor Baharu' datang untuk memberitahu bahawa kita perlukan kepimpinan baharu untuk melonjakkan Selangor ini menjadi negeri yang hebat, terbilang dan cemerlang.
''Ia kerana masalah paling besar yang kita hadapi di negeri Selangor adalah soal kepimpinan bila kita ada menteri besar terpaksa ikut dan dengar cakap orang lain. Itu masalah. Bila kita ada menteri besar yang tidak kuat kedudukannya, tidak ada keyakinan untuk mentadbir negeri, ia akan jadi masalah.
"Kalau pentadbirannya tiap-tiap hari dan minggu diganggu oleh elemen lain dalam pakatan politiknya, maka beliau tidak akan mampu membawa Selangor untuk maju ke hadapan," dakwanya lagi.
Afif menegaskan, pencapaian dan pembangunan Selangor ketika ini juga seharusnya dibandingkan dengan ibu kota besar seperti Singapura, Hong Kong, Taiwan dan bukannya dengan negeri-negeri lain di negara ini seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
"Hari ini kempen PH iaitu Amirudin dan rakan-rakannya bandingkan bahawa Selangor lebih baik dari Kelantan, Kedah dan Terengganu. Saya nak beritahu kawan-kawan, kita (PN pula) bukan nak jadi lebih baik daripada Kelantan. Kenapa nak bandingkan dengan Kelantan. Kelantan ada cabaran yang tersendiri, Terengganu ada cabaran tersendiri.
"Selangor seharusnya dibandingkan dengan ibu kota seperti Singapura, Hong Kong, Taiwan. Ini yang ingin kita betulkan dan sebab itu PN hadir untuk kita jadi kerajaan di Selangor untuk menjadikan Selangor lebih hebat untuk anak-anak kita di masa hadapan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!