Seorang maut, 7 cedera letupan bom di Pattani
PATTANI - Seorang anggota tentera maut, manakala tujuh lagi termasuk dua orang awam cedera dalam satu insiden letupan bom di Pattani, selatan Thailand.
Ketua Polis Daerah Yaring Kol. Pol. Theerapoj Yindee berkata, dalam insiden 9.30 pagi (waktu tempatan) itu, sebutir bom diletupkan di tepi jalan menyasarkan sebuah trak tentera.
Katanya, enam orang anggota dalam trak itu termasuk pemandu sedang dalam perjalanan dari Kem Kalayaniwattana, Narathiwat ke Pattani.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebutir bom buatan sendiri seberat 25 kilogram telah dipasang di tepi jalan dan diletupkan menggunakan walkie-talkie.
"Kekuatan letupan menyebabkan trak tentera mengalami kerosakan teruk. Pemandu trak mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di hospital. Lima lagi anggota tentera dan dua penunggang motosikal turut cedera,” katanya. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!