Muda belum buat keputusan sertai PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram
SEREMBAN - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) belum membuat keputusan sama ada mengambil penyertaan bertanding dalam kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor pada 9 September depan.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ketika ini bukan waktu sesuai untuk memikirkan soal itu.
"Saya rasa ini tempoh masa untuk kita bagi penghormatan kepada arwah, berkenaan isu pilihan raya dan lain itu bukan dalam perbincangan kami kerana menghormati arwah.
"Saya sudah beritahu Muda ini bukan masanya untuk fikir PRK. Fokus kita kepada pilihan raya negeri (PRN) dan dalam apa pun kita perlu menghormati jasa arwah," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Muda Negeri Sembilan di sini pada Khamis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September.
Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan pula ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.
PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
ARTIKEL BERKAITAN:
PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram pada 9 September - SPR
Kos PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram dianggar RM6 juta - SPR
BN beri laluan Amanah tanding PRK Simpang Jeram, Pulai - Zahid
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!