PRN: Perkasa komuniti DUN Taman Templer fokus calon PH
SHAH ALAM - Pemerkasaan komuniti menjadi tumpuan utama bagi membangunkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer memastikan taraf kehidupan rakyat kawasan tersebut dapat ditingkatkan.
Calon Pakatan Harapan (PH), Anfaal Saari berkata, ia merupakan salah satu daripada lima manifestonya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menurutnya, pemerkasaan yang akan dibuat bukan sahaja berkaitan komuniti untuk orang asal tetapi juga kepada peniaga dan wanita.
"Pembangunan bandar yang lestari boleh memberi peluang untuk membudaya dan membela nasib wanita dengan lebih meluas.
"Ia turut membabitkan segmen peniaga, warga emas dan anak muda serta boleh dilaksanakan sekiranya saya diberikan mandat.
“Selain itu, aspirasi untuk membangunkan anak muda turut termasuk dalam perancangan ini supaya mereka lebih mahir dan rajin bekerja sekali gus akan menjadikan DUN ini sebagai salah satu tonggak dalam Selangor,” menerusi Program Sinar Live pada Khamis.
Dalam masa sama, Anfaal berkata, kewujudan beberapa identiti unik di DUN Taman Templer seperti pembangunan, pusat pentadbiran, ekonomi setempat dan khazanah alam juga mempunyai potensi besar untuk dibangunkan.
“Saya tertarik dengan khazanah alam yang boleh dilihat melalui Rawang Bypass iaitu spesis pokok ‘rare’ dikenali sebagai Merawan Runcing kerana ia seakan pokok California RedWood yang ada di California Utara.
“Pembangunan dan khazanah alam berkenaan perlu diseimbangkan kerana ia boleh dijadikan sebagai tumpuan untuk eko-pelancongan di sini,” katanya.
Anfaal menjelaskan empat lagi manifesto beliau akan dimaklumkan esok untuk mendapatkan keberkatan pada hari Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!